Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

REMBAU: Malaysia sudah menegaskan secara rasmi kepada kerajaan Amerika Syarikat (AS) berhubung dasar negara ini yang tidak pernah mengiktiraf negara Israel.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata Duta Besar Malaysia ke Washington, Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob sudah dipanggil oleh Jabatan Negara AS bagi menerangkan perkara itu dan memaklumkan bahawa dasar itu bukan baharu.

Mohamad berkata, perkara itu sedang diuruskan dengan baik oleh Malaysia dan ia bukan satu isu besar.

“Memang menjadi dasar Malaysia, dasar imigresen kita tidak memperakui negara Israel dan rejim Zionis.

“Ini sudah lama, bukan baharu, tetapi kerana ada satu orang yang ada dua kewarganegaraan, AS dan Israel, dia datang ke sini menggunakan kewarganegaraan AS.

“Bagaimanapun, bila disemak semula, dia ternyata mempunyai satu lagi kewarganegaraan Israel, maka kita minta dia keluar,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Santai Bersama Tok Mat Hasan di Pedas sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan lapan Ahli Kongres AS menghantar surat kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar yang mahu mengusir segera rakyat Israel yang berada di Malaysia.

Ahli Kongres itu mendesak Kerajaan AS mengambil tindakan tegas kerana kenyataan Anwar didakwa cenderung bersifat antisemitisme.

Susulan itu, Perdana Menteri menegaskan Malaysia kekal dengan pendirian menyekat kemasukan rakyat Israel dan hakikat Malaysia adalah negara merdeka serta berdaulat bukan perkara baharu, malah kedudukan itu terbina sejak puluhan tahun lalu.

Pada masa sama, Mohamad memaklumkan, Wisma Putra juga sudah berhubung dengan Kedutaan AS di Malaysia dan kedua-dua pihak bersetuju untuk perkara itu diuruskan sebaik mungkin.

“Mereka mengatakan mereka menghormati dasar Malaysia kerana Malaysia memang daripada dulu tidak mengiktiraf Israel,” katanya. -BH Online