Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

IPOH: Perkembangan global terkini, khususnya ketegangan semula antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, membuktikan bahawa keselamatan tenaga dan maritim bukan lagi isu berasingan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata kedua-dua isu itu kini saling berkait rapat.

“Kejadian yang berlaku beribu-ribu kilometer jauhnya kini boleh menjejaskan harga elektrik, bekalan bahan api, aliran perdagangan dan akhirnya kehidupan harian rakyat biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi seorang daripada panel dalam Sesi Diraja Tersohor bersama Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bersempena dengan Persidangan Mengenai Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) Kelapan bertemakan “Setiap Insan Dihargai: Kemuliaan dan Perpaduan Dalam Islam” (Everyone Matters: Pride and Unity in Islam) di sini, hari ini.

Fadillah berkata perkembangan yang berlaku di Selat Hormuz baru-baru ini, walaupun berlaku jauh ia tetap memberikan kesan bukan sahaja kepada Malaysia, malah kepada keseluruhan rantaian nilai global.

“Justeru, ia bukan sekadar melibatkan pasaran tenaga, malah turut memberikan kesan kepada aspek logistik kerana perkapalan antarabangsa juga terjejas.

“Kos insurans akan menyaksikan peningkatan, selain kos tenaga dan kos rantaian bekalan. Inilah antara realiti yang sedang kita hadapi ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Fadillah berkata Malaysia sentiasa berpegang kepada prinsip bersahabat dengan semua negara kerana sejak sekian lama bergantung kepada sistem perdagangan yang terbuka, stabil dan berasaskan peraturan.

Maka, Malaysia menghadapi perkembangan itu dengan tenang serta penuh tanggungjawab melalui saluran diplomasi dan bukannya konfrontasi.

“Dan kita amat menyedari bahawa sebagai sebuah negara perdagangan yang terletak di satu daripada selat paling penting bagi perdagangan dunia, iaitu Selat Melaka. Jadi, apa sahaja yang berlaku di kawasan itu bukan sahaja memberi implikasi kepada Malaysia, malah kepada seluruh masyarakat global.

“Perniagaan akan terjejas, rantaian bekalan juga akan terjejas dan seterusnya memberikan kesan kepada seluruh komuniti global,” katanya.– BERNAMA