IPOH: Institusi pengajian tinggi (IPT) perlu menyesuaikan sistem pendidikan dengan perkembangan kecerdasan buatan (AI), melalui pengenalan cabang ilmu baharu dan pendekatan pembelajaran lebih menyeluruh bagi melahirkan graduan yang relevan dengan keperluan masa depan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata sistem pendidikan tinggi tidak boleh lagi kekal dengan pendekatan tradisional, sebaliknya perlu berkembang seiring kemunculan teknologi serta bidang ilmu baharu.
Beliau berkata, antara bidang perlu diberi fokus ialah AI, algoritma, teknologi kuantum dan planetary health yang dijangka menjadi tumpuan penting pada masa depan.
“Universiti perlu melihat kepada disiplin baharu yang sedang muncul dan bersedia untuk menyesuaikan kurikulum supaya kekal relevan dengan perkembangan semasa.
“Pada masa sama, bidang teknikal seperti kejuruteraan juga tidak boleh lagi diajar secara berasingan.
“Sebaliknya, ia perlu digabungkan dengan bidang sains sosial bagi melahirkan graduan lebih seimbang,” katanya ketika membarisi panel pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) Ke-8, di sini, hari ini.
Beliau menjadi ahli panel pada sesi pertama persidangan itu yang memfokus kepada tema ‘Pendidikan Penting: Pemerkasaan Sosial’.
Ahli panel lain ialah Pengasas dan Pengarah Institut Madina di Amerika Syarikat, Shaykh Dr Muhammad Yahya Al-Ninowy; Pengerusi Muhammadiyah dan Profesor Pemikiran Politik Islam di Universiti Islam Negeri (UIN) Syarif Hidayatullah di Jakarta, Prof Dr M Din Syamsuddin; dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS, Shariah Nelly Francis.
Selain itu, Zambry berkata, konsep pendidikan kini berkembang daripada pendekatan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada STEAM dengan mencakupi elemen seni (Arts) untuk membentuk graduan yang bukan saja memiliki kemahiran teknikal tetapi juga sahsiah, kreativiti serta keupayaan berfikir secara kritis.
Beliau berkata, perubahan itu selaras matlamat pendidikan yang bukan sekadar melahirkan pelajar cemerlang dari segi akademik, tetapi juga individu mampu berfikir, membuat pertimbangan dan menyelesaikan masalah dalam dunia yang semakin kompleks.
“Tujuan pendidikan bukan sekadar menghafal fakta atau memperoleh maklumat, tetapi juga membentuk pemikiran supaya lebih kritis dan mampu memahami serta menilai isu di sekeliling.
“Justeru, pelan pendidikan baharu negara meletak nilai kerendahan hati sebagai antara asas penting dalam melahirkan modal insan seimbang,” katanya. -BH Online

