KUALA LUMPUR: Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) membatalkan lesen perniagaan NS0 Malaysia Sdn Bhd (Network School) serta mengarahkan semua aktivitinya di Forest City dihentikan berkuat kuasa mulai esok.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kerajaan negeri menyokong sepenuhnya keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Penuh Khas MBIP selepas penelitian terhadap laporan pemeriksaan, dapatan penguatkuasaan serta representasi yang dikemukakan syarikat berkenaan.
Beliau berkata, tindakan itu dibuat mengikut proses dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Tindakan penguatkuasaan hanya boleh diambil selepas aduan serta maklumat disahkan, pemeriksaan dijalankan, ketidakpatuhan dikenal pasti dan proses undang-undang disempurnakan.
“Tempoh sesuatu premis beroperasi tidak bermakna semua aktivitinya sentiasa mematuhi syarat lesen. Apabila ketidakpatuhan dikenal pasti, tindakan mesti diambil tanpa kompromi,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai dakwaan yang mengaitkan kewujudan Network School di Forest City dengan agenda Israel untuk bertapak secara senyap di negara ini menerusi pelaburan mata wang.
Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri akan terus memperketat penyelarasan antara agensi bagi memastikan sebarang ketidakpatuhan dapat dikesan dan ditangani dengan segera.
Beliau menegaskan Johor sentiasa mengalu-alukan pelaburan berkualiti tinggi yang mampu merangsang ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan serta memacu pembangunan negeri, namun tiada mana-mana pelabur atau organisasi boleh mengatasi kedaulatan undang-undang negara.
“Dalam ruang lingkup bidang kuasa yang diperuntukkan, kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang atau perkara yang boleh menjejaskan keselamatan, kedaulatan dan kepentingan negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi keselamatan berkaitan meneruskan siasatan dan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat penyalahgunaan pasport kedua, salah nyata identiti, pelanggaran syarat kemasukan atau kesalahan lain di bawah undang-undang Malaysia.
“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi apabila Johor adalah pintu masuk strategik negara yang bersempadan dengan Singapura.
“Sebarang kelemahan atau penyalahgunaan sistem imigresen mesti ditangani segera, tegas dan tanpa kompromi,” katanya.
Pada masa sama, beliau menggesa Kementerian Digital dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyemak status Malaysia Digital atau sebarang pengiktirafan yang diberikan kepada organisasi berkenaan jika didapati berlaku ketidakpatuhan terhadap syarat yang ditetapkan.
Katanya, kerajaan negeri juga meminta semua agensi berkaitan memperketat proses saringan wajar, termasuk semakan latar belakang, pemilikan, sumber pembiayaan, bentuk operasi dan naratif yang dibawa oleh mana-mana syarikat atau organisasi.
Selain itu, katanya, penyelarasan antara agensi perlu diperkukuh supaya setiap pelaburan atau inisiatif antarabangsa diteliti secara menyeluruh daripada aspek pelesenan, imigresen, keselamatan, penggunaan premis serta pematuhan undang-undang.
“Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan Johor kekal sebagai destinasi pelaburan yang diyakini tanpa berkompromi terhadap keselamatan, kedaulatan dan undang-undang negara.
“Semua perkara berhubung tindakan itu sudah dipersembahkan untuk makluman serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor,” katanya. -BH Online
