KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan dalam peringkat merangka usaha untuk membangunkan Pasukan Siber sebagai perkhidmatan atau pasukan keempat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menangani ancaman peperangan moden dan kognitif (cognitive warfare).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata langkah itu diambil memandangkan ancaman pada masa kini tidak lagi terhad kepada pertempuran fizikal secara tradisional semata-mata, sebaliknya mula beralih kepada penguasaan ruang siber dan persepsi masyarakat.
“Kita perlu melaksanakan konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) kerana dalam ancaman dan cabaran moden pada hari ini, peperangan bermula tidak semestinya melalui pertentangan antara pasukan-pasukan keselamatan. Ia akan lakukan dengan menguasai media sosial kita dan sebagainya.
“Atas sebab itulah, kita di peringkat Kementerian Pertahanan, dalam soal pertahanan, kita sedang merangka usaha untuk membangunkan Pasukan Siber sebagai pasukan keempat kerana kita dapati itu sesuatu yang memang tak boleh nak dielakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Seri Prof Dr Noor Inayah Ya’akub mengenai pengintegrasian ancaman siber dan kognitif dalam pelaksanaan HANRUH di Dewan Negara, hari ini.
Menjawab soalan asal Senator Datuk Ahmad Ibrahim berhubung pengukuhan pelaksanaan HANRUH, Mohamed Khaled berkata Kementerian Pertahanan turut mengambil pelbagai inisiatif termasuk memperkasakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di IPTA.
Selain itu, inisiatif lain termasuk meningkatkan peruntukan Civil-Military Cooperation (CIMIC) kepada RM20 juta menjelang 2026, serta melancarkan Program Literasi Pertahanan bersama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (MiDAS). – BERNAMA
