CYBERJAYA: Jabatan Imigresen (Imigresen) perlu melangkaui peranan konvensional sebagai pengawal pintu masuk negara dan berkembang menjadi institusi strategik memacu pertumbuhan ekonomi, memperkukuh keselamatan negara serta menerajui transformasi digital, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menggariskan empat mandat utama yang perlu digalas Imigresen, Timbalan Perdana Menteri berkata, peranan terbabit penting dalam memastikan agensi itu terus relevan dalam mendepani cabaran global yang semakin kompleks.
Katanya, mandat pertama ialah menjadi pemudah cara kepada pertumbuhan ekonomi negara menerusi sistem imigresen yang lebih cekap bagi menarik pelaburan asing, bakat global dan pelancong.
“Pada masa kini, pelabur tidak lagi memilih sesebuah negara semata-mata berdasarkan insentif yang ditawarkan, sebaliknya mereka memilih negara yang cekap.
“Bakat global pula memilih negara yang mudah diakses, manakala pelancong mahukan pengalaman perjalanan yang pantas dan selamat.
“Kelewatan yang tidak perlu, prosedur yang rumit serta birokrasi berlebihan hanya akan menjejaskan daya saing negara,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Sambutan Hari Imigresen Ke-104 di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban.
Ahmad Zahid berkata, Emiriah Arab Bersatu (UAE) membuktikan bagaimana dasar imigresen mampu merangsang pertumbuhan ekonomi menerusi pelaksanaan program Golden Visa yang menawarkan tempoh pemastautin sehingga 10 tahun kepada pelabur dan bakat berkemahiran tinggi.
Katanya, program itu menyumbang kepada peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) negara berkenaan yang mencecah RM196.6 bilion pada 2025, sekali gus menjadikan UAE destinasi pelaburan asing kesembilan terbesar dunia untuk tahun keempat berturut-turut.
“Peranan Jabatan Imigresen kini bukan lagi sekadar mengawal pintu masuk negara, sebaliknya menjadi institusi strategik yang perlu terus diperkasakan,” katanya.
Beliau berkata, bagi mandat kedua, Imigresen perlu memperkukuh keselamatan dan kedaulatan negara susulan ancaman rentas sempadan yang semakin canggih.
“Ancaman kini bergerak merentasi sempadan tanpa mengenal waktu, sindiket
penyeludupan migran semakin tersusun dan pemerdagangan orang menjadi semakin kompleks manakala jenayah kewangan, penyeludupan, eksploitasi buruh, penyalahgunaan dokumen perjalanan dan ancaman keganasan semakin memanfaatkan teknologi serta rangkaian antarabangsa.
“Justeru, penguatkuasaan tidak lagi boleh hanya bersifat reaktif. Ia mesti dipacu oleh risikan, diperkasakan oleh data, disokong oleh teknologi dan dilaksanakan melalui kerjasama yang lebih erat antara semua agensi penguatkuasaan negara,” katanya.
Bagi mandat ketiga, Imigresen perlu memberi tumpuan kepada mempercepatkan transformasi digital dan inovasi dalam penyampaian perkhidmatan imigresen.
Timbalan Perdana Menteri berkata, pengurusan imigresen masa depan perlu diperkasakan dengan penggunaan data raya, kecerdasan buatan (AI), analitik ramalan, sistem identiti digital, biometrik dan teknologi sempadan pintar bagi membolehkan keputusan dibuat dengan lebih pantas, tepat dan selamat.
Beliau turut menjadikan Singapura sebagai contoh kejayaan transformasi digital menerusi pelaksanaan sistem pelepasan imigresen tanpa pasport menggunakan biometrik wajah dan iris mata.
Katanya, hampir 127 juta pelancong menggunakan sistem itu di pusat pemeriksaan imigresen Singapura sepanjang 2025, meningkat 270.2 peratus berbanding tahun sebelumnya, selain berjaya mengurangkan tempoh pemeriksaan daripada 25 saat kepada hanya 10 saat.
“Saya mahu Jabatan Imigresen menjadi organisasi yang menggunakan teknologi bukan sahaja untuk bekerja dengan lebih pantas, tetapi berfikir dengan lebih bijak, bertindak lebih tepat dan menyampaikan perkhidmatan bertaraf dunia,” katanya.
Mengenai mandat keempat, Ahmad Zahid berkata, aspek integriti, profesionalisme dan nilai kemanusiaan perlu terus diperkukuh dalam kalangan warga Imigresen.
Katanya, walaupun teknologi mampu meningkatkan kecekapan, hanya integriti mampu membina keyakinan rakyat, manakala profesionalisme bukan sekadar mematuhi prosedur, tetapi turut memerlukan pertimbangan yang baik serta keberanian untuk melakukan perkara yang benar.
“Saya mahu Jabatan Imigresen dikenali bukan sahaja kerana ketegasan dalam menguatkuasakan undang-undang, tetapi juga kerana profesionalisme, integriti dan nilai kemanusiaannya.
“Itulah asas kepada sebuah institusi yang dihormati rakyat dan diyakini masyarakat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan menyeluruh keempat-empat mandat itu diyakini mampu mengangkat Imigresen sebagai institusi strategik yang bukan sahaja mempertahankan kedaulatan negara, malah meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia serta memperkukuh keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan imigresen. – BH Online
