CYBERJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dijangka memperoleh data lebih kredibel menerusi projek Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) sebelum penghujung tahun ini bagi memperkukuh pengurusan isu pelarian di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata projek yang diterajui Jabatan Imigresen itu akan menghasilkan data granular yang mengandungi maklumat pelarian yang berjaya didaftarkan.
Katanya, walaupun Malaysia bukan negara penandatangan Konvensyen Pelarian 1951, kerajaan tetap mengambil pendekatan tersusun dalam menguruskan isu berkenaan.
“KDN hari ini melalui agensi Jabatan Imigresen menerajui satu projek yang kita namakan Dokumen Pendaftaran Pelarian, kita sedang mulakan dan insya-Allah hasilnya akan kita dapat sebelum tamat tahun ini.
“Kita akan mempunyai sejumlah data yang lebih kredibel, data granular yang lebih lengkap yang mengandungi semua maklumat mengenai pelarian yang berjaya kita daftarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Imigresen Ke-104 yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini, hari ini.
Saifuddin berkata, usaha itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk menguruskan isu pelarian secara lebih sistematik di samping mengekalkan keseimbangan antara aspek penguatkuasaan undang-undang dan pertimbangan kemanusiaan.
Beliau berkata, prinsip itu turut diterapkan dalam operasi penguatkuasaan imigresen, termasuk melalui penubuhan enam pusat Baitul Mahabbah sejak 2023 bagi menempatkan kanak-kanak yang ditinggalkan ketika operasi terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI).
Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin berkata, sepanjang 2025 hingga Jun lalu, Jabatan Imigresen menahan lebih 130,000 individu atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk kemasukan tanpa dokumen, penyalahgunaan pas dan tinggal lebih masa.
“Dlam tempoh sama, lebih 92,000 warga asing dihantar pulang ke negara asal masing-masing atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen,” katanya.
Selain itu, Saifuddin berharap cadangan menaikkan gaji pegawai dan anggota JIM akan diberi pertimbangan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
“Saya percaya ia wajar sebagai satu bentuk penghargaan terhadap pengorbanan warga jabatan ini,” katanya.-BH Online
