KUALA LUMPUR: Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN Ke-59 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan di Manila, Filipina dari 20 hingga 24 Julai.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan mesyuarat berkenaan dijangka memberi tumpuan kepada kesan krisis di Asia Barat terhadap rantau Asia Tenggara, khususnya dalam aspek dagangan dan pelaburan, keterjaminan tenaga dan makanan serta daya tahan rantaian bekalan.
“Penyertaan Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN Ke-59 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan ini mencerminkan komitmen dan iltizam Malaysia dalam memperkukuh Kepusatan ASEAN, solidariti dan daya tahan ASEAN dalam mendepani persekitaran global yang semakin mencabar,” menurut kenyataan itu.
Kementerian berkata Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN dengan Rakan Dialog ASEAN akan memberi peluang kepada ASEAN untuk menilai semula kerjasama sedia ada, membincangkan kerjasama praktikal dan meneroka hala tuju serta bertukar pandangan mengenai cabaran geopolitik semasa dan pendekatan terbaik untuk mengatasinya.
Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN dijangka membincangkan usaha pembinaan Komuniti ASEAN, pelaksanaan Triti Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara bersempena ulang tahun ke-50 triti itu serta keutamaan dan pencapaian utama Kepengerusian ASEAN oleh Filipina.
Mereka juga akan membincangkan tindakan susulan terhadap semakan dan keputusan Pemimpin ASEAN mengenai pelaksanaan Kemuafakatan Lima Perkara, hubungan luar ASEAN serta usaha memperkukuh Kepusatan ASEAN dalam seni bina serantau yang semakin berkembang.
Isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama serta persediaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 pada November di Filipina turut dijangka dibincangkan, menurut kementerian.
“Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN dijangka menerima pakai beberapa dokumen hasil, termasuk Kenyataan Bersama Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN Ke-59, yang akan merumuskan hasil perbincangan serta keputusan strategik dan penting yang dicapai di mesyuarat-mesyuarat tersebut,” menurut kenyataan itu.
Mohamad dijadual menghadiri Perbincangan Suamuka antara Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN dengan wakil Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), Mesyuarat Suruhanjaya Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) serta Mesyuarat Konsultasi Tidak Rasmi Terbuka Mengenai Pelaksanaan Kemuafakatan Lima Perkara.
Beliau turut dijadual menghadiri Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN dengan Rakan Dialog ASEAN iaitu Australia, China, Kanada, Kesatuan Eropah, India, Jepun, New Zealand, Republik Korea, Rusia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Selain itu, beliau akan menyertai Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN Campur Tiga Ke-27, Forum Serantau ASEAN Ke-33 dan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri Sidang Kemuncak Asia Timur Ke-16.
Mohamad juga dijangka menghadiri Persidangan Peringkat Tinggi Negara-Negara Pihak kepada Triti Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara serta Persidangan Kerjasama Antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin Ke-5.
Pada 22 Julai, Mohamad akan mempengerusikan Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN-China bersama Menteri Luar China, selaras dengan peranan Malaysia sebagai Negara Penyelaras bagi Hubungan Dialog ASEAN-China bagi tempoh 2024 hingga 2027.
Di sela-sela Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN Ke-59, beliau juga dijangka mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan sejawat daripada negara-negara Rakan Dialog ASEAN bagi membincangkan isu dua hala serta perkara-perkara berkepentingan bersama.– BERNAMA
