Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Jabatan dan agensi di bawah Kementerian Komunikasi digesa terus mengamalkan perbelanjaan berhemat dan memanfaatkan premis milik kerajaan termasuk Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) untuk mengadakan program seperti latihan dan kursus.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata langkah itu penting bagi memastikan perbelanjaan kementerian dilaksanakan secara berhemat selaras keadaan ekonomi semasa.

“Banyak program latihan sebagai contoh boleh dilakukan di IPPTAR. Jika sebelum ini, latihan dilakukan mungkin di hotel ataupun premis seperti itu, sebenarnya dalam Kementerian Komunikasi kita ada Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan IPPTAR.

“Jadi, saya minta perkara ini disusuli dan tindakan terutama isu latihan dilaksanakan di IPPTAR,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, IPPTAR juga memaklumkan sejak kebelakangan ini pihaknya mendapat perhatian daripada banyak kementerian dan agensi untuk mengadakan latihan dan kursus. 

Sementara itu, Fahmi berkata, konflik yang berterusan di Asia Barat perlu diberi perhatian kerana kesannya akan turut dirasai negara ini.

“Kita lihat di Asia Barat, pada ketika mungkin perang itu sudah selesai, tiba-tiba dalam seminggu kebelakangan ini, nampaknya seolah-olah belum selesai, ini akan ada kesan kepada ekonomi negara kita. 

“Kesan terutamanya (dari segi) ekonomi akibat perang dan konflik berterusan di Asia Barat ini juga akan terkena kepada kita,” katanya.

Sementara itu, Fahmi turut mengingatkan semua agensi memahami isu yang mungkin kurang difahami pada peringkat masyarakat setempat.

“Kita perlu berusaha menunjukkan Kerajaan Persekutuan adalah kerajaan yang bukan hanya mendengar, tetapi responsif dan segera menyelesaikan isu dan masalah,” katanya.

Beliau berkata, agensi di bawah Kementerian Komunikasi juga perlu memperkukuh penyebaran maklumat sahih melalui saluran rasmi dan merapatkan jurang demografi khususnya dalam kalangan Generasi Z dan Generasi Alpha.

Katanya, perubahan corak penggunaan media dalam kalangan generasi muda menuntut pendekatan baharu daripada kementerian dan agensi.

Merujuk dapatan kaji selidik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Fahmi berkata, bagi golongan berusia 18 hingga 35 tahun, sebanyak 87 peratus menjadikan WhatsApp sebagai sumber maklumat pertama, diikuti Facebook dan TikTok.

Bagaimanapun, katanya, dapatan sama menunjukkan tahap kebolehpercayaan responden terhadap maklumat di platform berkenaan agak rendah iaitu sekitar 46 hingga 47 peratus.

“Manakala bagi sumber dianggap media ‘legacy’ seperti surat khabar, TV dan radio, mereka (responden) melihat tahap kebolehpercayaan sumber ini sangat tinggi.

“Mereka jarang membuka surat khabar, tetapi jika nampak sesuatu berita, mereka percaya, (sebaliknya) mereka mendapat banyak maklumat informasi berita dalam WhatsApp, tetapi tak tahu maklumat itu betul atau tidak,” katanya.

Fahmi turut meminta semua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Komunikasi memperbanyakkan kandungan berkaitan patriotik sempena sambutan Bulan Kebangsaan bermula 19 Julai hingga 16 September ini.

“Saya lihat ini peluang yang baik dalam tempoh bulan sambutan Bulan Kebangsaan untuk kita menyediakan kandungan yang memberi kesedaran, sedikit peringatan pentingnya kita hidup rukun, aman damai, bersatu padu dalam sebuah negara seperti Malaysia,” katanya. – BERNAMA