Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Amanah Saham Sarawak (ASSAR) mengumumkan dividen akhir sebanyak 6.5 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, meningkat 8.3 peratus berbanding 6.0 sen seunit bagi tahun kewangan 2025 dan 2024.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata kadar dividen lebih tinggi itu mencerminkan prestasi kukuh ASSAR selepas memasuki tahun kewangan penuh ketiga sejak penstrukturan semula dana amanah berkenaan.

Katanya, jumlah pengagihan dividen keseluruhan adalah sebanyak RM34.35 juta membabitkan 57,926 pemegang unit ASSAR.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, dividen interim sebanyak 3.0 sen seunit sudah diagihkan pada 16 Februari lalu, manakala baki 3.5 sen seunit pula akan dibayar sebelum hujung Julai ini berdasarkan pegangan unit pada 30 Jun 2026.

“Prestasi ASSAR tahun ini adalah satu milestone(pencapaian) penting kerana kita bukan saja mampu mengagihkan dividen lebih tinggi, malah berjaya meningkatkan rizab pendapatan kepada RM20.54 juta, meningkat 71.3 peratus berbanding RM11.99 juta pada akhir tahun kewangan 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pengumuman Dividen Akhir ASSAR bagi Tahun Kewangan Berakhir 30 Jun 2026, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, berdasarkan pendapatan boleh agih sebanyak RM39.65 juta berbanding peruntukan RM19.11 juta bagi pembayaran dividen, ASSAR memiliki lebihan pendapatan sebanyak RM20.54 juta yang akan dijadikan rizab bagi menyokong prestasi tabung pada masa depan.

Beliau berharap kadar dividen yang kompetitif serta rizab pendapatan semakin kukuh itu dapat menarik lebih ramai masyarakat Bumiputera Sarawak, khususnya golongan muda, untuk menjadikan ASSAR sebagai instrumen pelaburan jangka panjang.

Pada masa sama, katanya, ASSAR kekal sebagai instrumen pelaburan yang selamat dan berisiko rendah menerusi jaminan harga minimum RM1.00 seunit kepada pemegang unit.

Mengulas perancangan masa depan ASSAR, Abang Johari berkata, beliau sudah mengarahkan Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan tertinggi dana itu supaya memperluaskan skop pelaburan bagi menjana pulangan lebih mampan.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga meneliti potensi untuk membuka peluang pelaburan kepada masyarakat bukan Bumiputera menerusi penubuhan satu lagi dana dikenali sebagai ASSAR 2, selaras dasar inklusif Kerajaan Sarawak.

“Ketika ini, ASSAR hanya tertumpu kepada Bumiputera. Kita melihat model dilaksanakan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan mungkin akan mewujudkan ASSAR 2 bagi membolehkan masyarakat bukan Bumiputera turut menyimpan serta melabur dalam Amanah Saham Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu akan membolehkan lebih banyak dana dikumpulkan bagi menyokong pelaburan dalam ekonomi Sarawak yang berkembang pesat, selain memberi peluang kepada semua anak Sarawak tanpa mengira kaum untuk menikmati manfaat pertumbuhan ekonomi negeri.

Mengulas sama ada ASSAR berpotensi melabur dalam projek-projek mega negeri seperti pembangunan pelabuhan laut dalam, Lapangan Terbang Antarabangsa Tanjung Embang, Pelabuhan Bintulu dan Pelabuhan Miri pula, Abang Johari berkata, peluang itu sememangnya wujud kerana pembangunan infrastruktur strategik Sarawak sedang berkembang pesat.

“Kita sedang membangunkan pelabuhan laut dalam, infrastruktur lapangan terbang antarabangsa di Tanjung Embang, mengambil alih Pelabuhan Bintulu dan membangunkan Pelabuhan Miri.

“Semua ini membuka peluang kepada pelabur untuk bersama-sama merchant bankers dan bank pelaburan membentuk pembiayaan melalui bon atau sukuk bagi menyokong pembangunan ekonomi Sarawak yang kini berkembang dengan begitu baik,” katanya. -BH Online