KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan untuk meletakkan Malaysia sebagai rujukan global dalam bidang pertanian perladangan mampan yang dipacu sains, dikuasakan inovasi, berteraskan kemampanan serta diyakini masyarakat antarabangsa.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata bagi merealisasikan hasrat itu, kerajaan menggariskan lima komitmen utama untuk memacu agenda kebangsaan sektor perladangan.
“Perkara pertama adalah untuk terus memperkukuh kemampanan sebagai asas daya saing jangka panjang dalam memastikan pertumbuhan ekonomi seiring dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar dan keterangkuman sosial.
“Kedua, kerajaan akan mempercepat aspek inovasi dengan menyokong penyelidikan, pendigitalan dan penerimagunaan teknologi maju bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan serta daya tahan di sepanjang rantaian nilai,” katanya ketika berucap pada Persidangan Penanam Antarabangsa Ke-11 2026 di sini, hari ini.
Noraini berkata, komitmen ketiga ialah memperkasa pekebun kecil dan komuniti perladangan, manakala komitmen keempat memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan nilai tambah menerusi pembangunan industri hiliran, pengkomersialan penyelidikan, produk berasaskan bio serta ekonomi kitaran.
“Ini akan membolehkan komoditi kita menyumbang kepada industri bernilai tinggi serta menjadi sumber pertumbuhan ekonomi baharu.
“Kelima, Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama antarabangsa kerana masa depan pertanian perladangan mampan bergantung kepada kerjasama yang lebih kukuh, perkongsian pengetahuan yang lebih meluas serta kepercayaan antara negara,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata kerajaan akan terus memperkukuh Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang mencerminkan komitmen negara terhadap pengeluaran secara bertanggungjawab, pemeliharaan alam sekitar serta kebertanggungjawaban sosial. -BERNAMA

