Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial 2026 yang bertujuan mengawal selia pengamal dan pelatih kerja sosial serta perkhidmatan itu dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.null

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri ketika membentangkan RUU berkenaan, berkata bacaan kali kedua juga akan dibuat pada mesyuarat kali ini.

Menurut naskhah biru yang dimuat naik di portal rasmi Parlimen, RUU itu turut mencadangkan penubuhan Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia yang antara fungsinya ialah meluluskan permohonan perakuan amalan, membangunkan piawaian kompetensi profesional, mengawal selia etika serta kelakuan profesional pengamal kerja sosial dan pelatih, selain mempromosikan kesedaran mengenai profesion berkenaan.

Majlis yang dicadangkan itu akan dipengerusikan Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, manakala Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat bertindak sebagai Timbalan Pengerusi.

Keanggotaannya turut membabitkan pengamal kerja sosial dari seluruh negara serta wakil sektor awam dan swasta yang mempunyai pengalaman, pengetahuan dan kepakaran dalam bidang kerja sosial.

Selain itu, RUU itu memperuntukkan penubuhan Daftar Pengamal Kerja Sosial dan Pelatih Kerja Sosial, selain menetapkan syarat permohonan perakuan amalan bagi warganegara, perakuan amalan sementara untuk bukan warga negara dan perakuan interim bagi tujuan latihan serta memperoleh pengalaman dalam perkhidmatan kerja sosial.

RUU itu turut mengandungi peruntukan mengenai prosiding tatatertib, rayuan, pengeluaran dan pemasukan semula dalam daftar, serta kesalahan termasuk menjalankan perkhidmatan kerja sosial atau mengemukakan diri sebagai pengamal kerja sosial tanpa perakuan yang sah.

RUU itu mengandungi 36 fasal yang dibahagikan kepada tujuh bahagian. -Bernama