KLANG: Jabatan Imigresen Malaysia menjalankan pemeriksaan terhadap lebih 1,000 warga asing menerusi Ops Mega di sekitar kawasan Hentian Klang hari ini dalam usaha membanteras kehadiran pendatang tanpa izin.
Pemeriksaan mengejut bermula kira-kira 12 tengah hari itu menyasarkan lot kedai serta pelbagai premis perniagaan dan hostel, yang dikenal pasti menjadi lokasi tumpuan utama penempatan serta aktiviti ekonomi komuniti warga asing di daerah Klang.
Tinjauan Bernama mendapati pasukan penguat kuasa meneliti status dokumen perjalanan setiap individu yang ditahan bagi memastikan tiada pelanggaran di bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk kesalahan tinggal lebih masa serta tidak memiliki dokumen sah.
Difahamkan, Imigresen memberikan fokus penuh dalam proses saringan itu untuk mengenal pasti sebarang penglibatan pihak luar atau majikan yang melindungi pendatang tanpa izin, antaranya warga Nepal, Bangladesh, Myanmar, Pakistan dan Indonesia.
Operasi bersepadu itu turut membongkar kegiatan menyalahi undang-undang di premis terlibat apabila pihak berkuasa menemukan bukti aktiviti tidak bermoral serta penjualan barangan terlarang di beberapa unit penginapan sementara berkenaan.
Tindakan proaktif berskala besar itu dijayakan menerusi penglibatan 250 pegawai serta anggota penguat kuasa hasil kerjasama strategik antara Imigresen Putrajaya, Selangor, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Selangor.
Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Selangor untuk siasatan lanjut dan perincian lengkap akan didedahkan dalam sidang media oleh Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban di Putrajaya, esok.– BERNAMA
