KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) melaksanakan tiga anjakan proaktif dalam usaha membantu meremajakan industri teksi di negara ini, termasuk menjalankan kajian Pelan Strategik Pengangkutan Awam Lembah Klang.
Menterinya, Anthony Loke, berkata melalui kajian pelan berkenaan, ia akan menentukan hala tuju masa depan pemandu teksi, termasuk penilaian semula kadar tambang pengangkutan awam itu.
Beliau berkata, langkah proaktif lain ialah menyediakan pakej pembiayaan kenderaan teksi dengan pengeluar kenderaan nasional, serta penyediaan latihan kepada pemandu teksi.
“Ia bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan profesionalisme pemandu teksi dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MKJR)
“Langkah ini penting berikutan kita tidak dapat menafikan industri ini berdepan pelbagai cabaran susulan perubahan teknologi dan cara rakyat mendapatkan perkhidmatan pengangkutan, serta persaingan daripada mod pengangkutan baharu.
“Namun, cabaran ini juga membuka ruang untuk kita melakukan anjakan besar melalui langkah proaktif berkenaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional, di Dataran Merdeka di sini, hari ini.
Majlis itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Pada masa sama, Loke berkata, Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional adalah langkah penting untuk mentransformasikan industri teksi negara supaya lebih moden, berdaya saing dan terus memainkan peranan penting dalam ekosistem pengangkutan awam negara.
Katanya, kenderaan sedan Proton S70 pula dipilih sebagai model teksi rasmi terbaru berdasarkan standard keselamatan, tahap keselesaan penumpang, serta aspek kecekapan penggunaan bahan api yang optimum.
Beliau berkata, kaedah pembiayaan kenderaan bawah program itu adalah berstatus hak milik kekal pemandu dengan mereka tidak lagi terikat kepada sistem pajakan lama.
“Kelulusan khas yang diberikan Kementerian Kewangan membolehkan pemandu teksi menjadi pemilik sah kenderaan baharu yang dibeli, sekali gus menamatkan amalan pajakan tradisional.
“Ini bukan skim lama atau cara lama yang memajakkan teksi.
“Pemilik atau pemandu adalah pemilik sah kepada kenderaan itu walaupun ada pembiayaan dengan institusi kewangan. Hak milik itu kekal bersama pemandu,” katanya.
Loke berkata, identiti baharu teksi Malaysia kini juga tampil lebih moden tanpa komponen penanda atas bumbung serta menggunakan siri nombor pendaftaran khas bermula dengan huruf ‘GET’.
Sementara itu Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia (GTM), Kamarudin Mohd Hussain, berkata terdapat 800 pemandu teksi yang berminat menyertai program berkenaan, setakat ini.
Beliau berkata, ada dalam kalangan mereka yang masih pada peringkat mendapatkan permit dan surat tawaran kelulusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Pemandu yang berminat perlu ada pendaftaran syarikat serta Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV), dan kerjasama dijalankan bersama pihak PROTON untuk mendapatkan pinjaman.
“Pemandu teksi dan e-hailing di luar sana yang berdepan masalah tambang terlalu rendah serta kos kenaikan insurans yang terlalu tinggi, disarankan menyertai program ini,” katanya. -BH Online
