KUALA LUMPUR: Pembatalan keanggotaan Tan Sri Azam Baki sebagai Lembaga Penasihat Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) hanya boleh dibuat Yang di-Pertuan Agong, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, buat masa ini pelantikan Azam itu ke dalam NFCC itu terpakai sehingga 2027.
“Soal ini, lantikannya terpakai sehingga 2027 dan kuasa untuk membatalkannya hanyalah boleh dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong, ia tidak terkait dengan (status) sebagai Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah (SPRM),” katanya ketika ditemui selepas solat Jumaat di Masjid As-Sodiqin, Taman Kobena, di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempersoal justifikasi pelantikan Azam sebagai penasihat NFCC memandangkan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu terpalit dengan beberapa isu termasuk skandal berkaitan korporat mafia dan pemilikan saham.
Selain Hamzah, Timbalan Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Mike Chong Yew Chuan turut meminta kerajaan memberikan penjelasan segera berhubung dakwaan bahawa Azam sudah dilantik sebagai penasihat di NFCC.
Katanya, laporan mengenai pelantikan itu menimbulkan kebimbangan serius terutama ketika pelbagai pertubuhan masyarakat sivil dan orang ramai masih menuntut penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan berkaitan mafia korporat serta kaitan yang didakwa membabitkan Azam.
Terdahulu, Ketua Pengarah NFCC, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil melalui kenyataan media menjelaskan lantikan Azam sebagai anggota Lembaga Penasihat bagi tempoh 20 September 2024 hingga 19 September 2027 dibuat atas kapasiti individu dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Oleh itu, katanya keanggotaan Azam dalam Lembaga Penasihat NFCC tidak terikat kepada jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan kekal berkuat kuasa sehingga tamat tempoh pelantikan, melainkan ditamatkan lebih awal oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Sehubungan itu, kehadiran Azam dalam Mesyuarat Lembaga Penasihat NFCC pada 30 Jun lalu adalah selaras dengan Akta 822 kerana beliau merupakan anggota Lembaga Pengarah,” katanya. -BH Online
