KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan penempatan semula pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi 2025 dan 2026 yang melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat (AS).
Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata langkah itu diambil berikutan suasana ketidaktentuan dasar dan landskap geopolitik semasa di AS.
Beliau berkata, pelajar ditempatkan ke beberapa negara alternatif yang turut menempatkan universiti terkemuka dunia yang menawarkan bidang pengajian kritikal seperti ditawarkan di AS dengan kualiti akademik dan pengiktirafan global setara.
“Keputusan ini diambil sebagai langkah pengurusan risiko yang berhemah demi memastikan pelajar tidak terdedah kepada sebarang risiko akibat situasi politik di negara itu.
“Oleh itu, penempatan ke negara alternatif ini sama sekali tidak menjejaskan akses, kualiti, mahupun peluang pelajar tajaan MARA memperoleh pendidikan bertaraf dunia dalam bidang strategik yang diperlukan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) mengenai rasional keputusan MARA tidak lagi menghantar pelajar tajaan ke AS dan sejauh mana keputusan itu mengambil kira kepentingan pembangunan modal insan Bumiputera, akses kepada universiti bertaraf dunia serta keperluan negara terhadap bidang kritikal berimpak tinggi.
Ahmad Zahid berkata, MARA akan sentiasa memantau rapat perkembangan situasi geopolitik dan kestabilan dasar di AS dari semasa ke semasa serta bersedia meneruskan semula penghantaran dan penajaan pelajar ke universiti terkemuka lain di negara itu pada masa depan jika keadaan dan landskap politiknya kembali pulih, stabil serta kondusif.
“Langkah ini membuktikan dasar penajaan MARA sentiasa dinamik, anjal dan sentiasa berpaksikan kepada kepentingan terbaik modal insan Bumiputera di persada antarabangsa,” katanya. – BERNAMA

