KLANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perkhidmatan percuma bagi LRT Laluan Shah Alam selama sebulan bermula esok.
LRT3 Laluan Shah Alam dari Bandar Utama ke Johan Setia sepanjang 37.8 kilometer (km) siap sepenuhnya dan sedia untuk beroperasi.
Pembukaan Laluan Shah Alam yang memanfaatkan dua juta penduduk sekitar jajaran itu dirasmikan Perdana Menteri, hari ini.
Anwar ketika mengumumkan perkara itu berkata tambang percuma itu turut diberikan bagi perkhidmatan bas perantara kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di sepanjang Laluan Shah Alam.
“Bermula 29 Jun iaitu esok hingga 31 Julai tambang perkhidmatan Laluan Shah Alam dan bas perantara sepanjang Laluan Shah Alam akan diberikan secara percuma selama sebulan.
“Tapi kenapa agaknya laluan ini? Kerana laluan ini yang paling sesak, antara yang paling sesak dalam negara kita. Kemudian bila sesak, maknanya satu bebanan yang besar bagi rakyat,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran LRT3 Laluan Shah Alam di Depoh LRT Johan Setia di sini, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri menaiki tren LRT3 dari stesen Seri Andalas ke stesen Johan Setia yang mengambil masa perjalanan kira-kira 15 minit sebelum menyempurnakan majlis pelancarannya.
Hadir sama ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Selain itu turut hadir Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Tan Sri Mohd Nasir Ahmad serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Amir Hamdan.
Projek LRT3 Laluan Shah Alam yang membabitkan pelaburan RM16.63 bilion adalah antara pelaburan strategik kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur pengangkutan awam negara.
Sebelum ini, Prasarana memaklumkan Laluan Shah Alam turut disokong oleh 40 bas perantara yang beroperasi di 323 hentian membabitkan 13 laluan khusus, dengan tambang hanya RM1 bermula 6 pagi hingga 11.30 malam.
Di samping itu, perkhidmatan Rapid On-Demand turut disediakan membabitkan 44 van di 20 zon dengan bayaran RM2, bermula 6 pagi hingga 11.30 malam.
Kemudahan Orang Kurang Upaya (OKU) juga disediakan di semua stesen antaranya laluan landai (ramps) untuk pengguna berkerusi roda, tandas mesra OKU serta tempat duduk khas untuk pengguna OKU di setiap gerabak.-BH Online
