KLUANG: Malaysia telah mengenal pasti pasti empat negara yang berpotensi membekalkan sistem peluru berpandu antikapal bagi menggantikan Naval Strike Missile (NSM) selepas kerajaan Norway membatalkan lesen eksport sistem persenjataan itu kepada negara ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kementerian kini sedang menilai tawaran empat negara berkenaan berdasarkan beberapa kriteria utama bagi memastikan sistem yang dipilih benar-benar memenuhi keperluan operasi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), khususnya kapal tempur pesisir Littoral Combat Ship (LCS).
Empat negara yang sedang dipertimbangkan terdiri daripada beberapa negara di Eropah selain Turkiye dan Korea Selatan, namun enggan mendedahkan identiti negara-negara terbabit kerana proses penilaian masih berjalan.
“Kita ada empat negara yang sedang kita timbang. Pertimbangannya bukan secara asas atau umum, tetapi kita perlu menilai sama ada peluru berpandu yang hendak diganti itu boleh disepadukan dengan Combat Management System (CMS) pada kapal LCS.
“Kita tahu CMS dalam kapal LCS adalah buatan Perancis. Jadi sekarang banyak negara mengemukakan cadangan untuk menjual peluru berpandu pengganti kepada kita,” katanya selepas menghadiri Karnival Hari Keluarga Kita bersama warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Selatan di sini, hari ini.
Menurut Khaled, selain keserasian dengan sistem tempur kapal, kementerian turut menilai tempoh penghantaran bekalan kerana ia menjadi faktor penting dalam mempercepatkan kesiapsiagaan aset TLDM.
Katanya, pengalaman terdahulu menunjukkan tempahan NSM mengambil masa sehingga lapan tahun untuk dibekalkan, justeru kerajaan mahu memilih pembekal yang mampu menghantar sistem berkenaan dalam tempoh lebih singkat.
Beliau berkata, aspek kos turut diberi perhatian bagi memastikan harga yang ditawarkan adalah berpatutan, selain teknologi peluru berpandu yang setanding atau lebih baik daripada NSM.
Kerajaan Norway sebelum ini dilapor membatalkan lesen eksport peluru berpandu antikapal NSM kepada Malaysia serta sistem pelancar berkaitan atas alasan untuk melindungi keselamatan negara itu.
Menurut laman sesawang Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA), perolehan NSM dimeterai antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan KDA pada April 2018, dengan nilai kontrak 124 juta euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) baharu.
Susulan itu, Malaysia telah menghantar surat tuntutan saman melebihi RM1 bilion kepada syarikat berkaitan dan kini sedang menunggu maklum balas daripada kerajaan Norway. -BH Online

