MUAR: Masalah gangguan capaian internet di Kampung Sungai Balang Darat di sini dan kawasan sekitarnya dijangka selesai menjelang suku ketiga tahun ini menerusi pembinaan sebuah menara telekomunikasi baharu setinggi 45 meter.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata projek infrastruktur digital yang diusahakan oleh CelcomDigi itu telah dikenal pasti dan berada dalam tindakan kementeriannya sejak penghujung tahun lalu.
Beliau berkata, bagi memastikan liputan yang menyeluruh, menara tersebut akan dilengkapi teknologi Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN) bagi membolehkan rangkaian berkenaan dikongsi oleh semua syarikat telekomunikasi utama.
“Kita akan pastikan semua telco (syarikat telekomunukasi) dapat bersama-sama (menggunakan) menara itu (apabila) dihidupkan. Insya-Allah masalah internet di beberapa lokasi kritikal di Sungai Balang akan dapat diuruskan segera,” katanya ketika ditemui pada program Jiwa@Komuniti MADANI Sembang Santai Edisi Piala Dunia di Pasar Awam Parit Jawa, di sini, hari ini.
Terdahulu, Fahmi meluangkan masa menyantuni orang ramai yang bersarapan sambil menonton siaran langsung perlawanan bola sepak antara Jordan dan Argentina.
Mengulas lanjut, beliau berkata proses penyelesaian sebelum ini melibatkan beberapa prosedur teknikal termasuk urusan pembelian dan pengambilan tanah bagi tapak menara berkenaan.
Dalam pada itu, Fahmi berkata kementeriannya menerusi Jabatan Penerangan akan meneruskan program Ziarah Kasih MADANI bagi mendekati komuniti akar umbi secara terus untuk mengenal pasti serta menyelesaikan masalah berbangkit masyarakat setempat.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pemantauan salah laku siber pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, beliau memaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) beroperasi 24 jam bagi memantau penularan berita palsu serta kandungan sensitif melibatkan Raja, Agama dan Kaum (3R).
“Sekiranya orang ramai melihat ada apa-apa perkara yang melanggar undang-undang pilihan raya, boleh buat laporan kepada pihak SPR dan pihak berkuasa akan mengambil tindakan terutama yang berkait ataupun berhubung khusus dengan calon.
“Kalau nampak sesuatu yang bersifat 3R di Facebook, buat laporan pada Facebook dan Facebook sepatutnya mengambil tindakan. Jika Facebook gagal, boleh lapor kepada pihak MCMC untuk tindakan susulan,” katanya.
PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.-BERNAMA
