KLANG: Beberapa kawasan sekitar stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam sudah dikenal pasti untuk pelaksanaan projek Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD), kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Antara kawasan berpotensi untuk dilaksanakan projek berkenaan meliputi Stesen Seri Andalas, Kayu Ara, Bandar Bukit Tinggi dan Johan Setia.
Kawasan terbabit memiliki kriteria ditetapkan antaranya memiliki kawasan luas untuk dibangunkan projek perumahan rakyat dan pusat komersial.
“Kalau dulu park and ride sahaja, tanah itu tidak dioptimumkan dan katakan kalau untuk 600 kenderaan kebiasaannya mereka yang menggunakan LRT ini dia akan letak kenderaan dari pagi sampai malam.
“Jadi walaupun ada 600 petak ia hanya akan memanfaatkan 600 itu sahaja kerana dia guna sepanjang hari jadi kita kena lihat dan dasar kerajaan adalah untuk kita optimumkan penggunaan tanah dan konsep TOD ini,” katanya selepas majlis Peluncuran LRT3 Laluan Shah Alam di sini, hari ini.
Majlis pelancaran disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Yang turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan merangkap Ahli Parlimen Kota Raja, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azril Abu Bakar dan Pengerusi Kumpulan Prasarana Berhad, Tan Sri Mohd Nasir Ahmad.
Kerjasama swasta
Mengulas lanjut projek berkenaan, Loke menegaskan bahawa pembangunan di kawasan berkenaan akan membabitkan kerjasama syarikat swasta.
Melalui kerjasama itu, beliau berkata ia diharapkan dapat membantu merealisasikan hasrat kerajaan memastikan rakyat dapat menikmati limpahan pembangunan apabila kemudahan itu siap kelak.
Sementara itu, Loke berkata, Prasarana bercadang menambah lima lagi stesen LRT bagi laluan Shah Alam iaitu stesen Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik dengan pembinaan dijangka bermula hujung tahun ini. – BH Online
