Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

LANGKAWI: Penduduk dan pelancong yang memerlukan rawatan kecemasan di hospital tanah besar bakal dipindahkan lebih pantas menerusi perkhidmatan ambulans laut yang dijangka mula beroperasi di pulau ini awal tahun depan. 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata aset pengangkutan perubatan bernilai RM5.5 juta kini dalam peringkat perolehan selepas kelulusannya diberikan kerajaan bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan kesihatan di Langkawi.

Ambulans laut dilengkapi pelbagai kelengkapan perubatan moden bagi membolehkan pesakit menerima rawatan sewajarnya sepanjang perjalanan ke hospital di tanah besar. 

“Ambulans laut ini mampu membawa dua pengusung pada satu-satu masa selain mempunyai 12 tempat duduk.

“Kita akan menyiapkannya dan memulakan operasi awal tahun depan bagi memberi manfaat kepada penduduk tempatan serta pelancong Langkawi,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja dan menyerahkan pelbagai peralatan kepada Hospital Sultanah Maliha (HSM), di sini, hari ini. 

Menurutnya, peruntukan bagi pembelian aset itu termasuk kos operasi awal disalurkan Kementerian Kewangan menerusi Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA). 

Amir Hamzah berkata, kewujudan ambulans laut itu turut melengkapkan projek pembesaran HSM yang kini memasuki fasa kedua dan dijangka siap pada Mac tahun depan. 

Terdahulu, beliau menyerahkan pelbagai peralatan diagnostik dan makmal, teknologi maklumat, keselamatan digital serta fasiliti logistik dan kesiapsiagaan bernilai RM700,000 bagi kegunaan HSM.-BH Online