PUTRAJAYA: Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel bermula 1 Julai ini mampu menjimatkan perbelanjaan kerajaan sehingga RM2 bilion setahun menerusi pengurangan ketirisan dan pemberian subsidi kepada golongan yang benar-benar layak.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata penjimatan itu juga membolehkan kerajaan untuk menurunkan harga diesel bersubsidi daripada RM2.15 kepada RM2.10 seliter kepada rakyat Malaysia yang layak.
Beliau berkata, mekanisme baharu itu menggunakan kaedah pengesahan menerusi MyKad seperti yang dilaksanakan di bawah program BUDI RON95 bagi memastikan hanya warga Malaysia yang layak menikmati subsidi berkenaan.
“Kita menjangka dapat menjimatkan sehingga RM2 bilion setahun melalui pengurangan ketirisan yang berlaku. Oleh sebab itu kerajaan bersetuju menurunkan harga diesel bersubsidi daripada RM2.15 kepada RM2.10 seliter,” katanya pada sidang media pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali.
Amir Hamzah berkata, pelaksanaan sistem berkenaan bertujuan menangani isu ketirisan bahan api yang memberi tekanan kepada kedudukan fiskal kerajaan serta bekalan diesel dalam negara.
Katanya, sebelum konflik di Asia Barat tercetus awal tahun ini, kerajaan menanggung subsidi petrol dan diesel sekitar RM800 juta sebulan, namun jumlah itu meningkat kepada RM4.7 bilion pada Mac dan RM4.9 bilion pada April susulan lonjakan harga minyak dunia.
Beliau berkata, peningkatan mendadak penggunaan diesel dalam tempoh sama turut menunjukkan berlakunya ketirisan yang ketara.
“Kita dapati penggunaan diesel yang kebiasaannya sekitar 624 juta liter sebulan meningkat hampir kepada 1.2 bilion liter sebulan pada Mac dan April. Perbezaan ini menunjukkan berlakunya ketirisan dalam sistem sedia ada,” katanya.
Sementara itu, Armizan berkata, pihaknya berharap dapat mengurangkan kes ketirisan subsidi diesel dan petrol yang tinggi berlaku di Sabah, Sarawak dan Labuan berbanding Semenanjung Malaysia menerusi pelaksanaan subsidi diesel berkenaan.
Katanya, pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar di Sabah, Sarawak dan Labuan itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan menutup ruang ketirisan yang masih berlaku menerusi pelbagai modus operandi.
“Kita harap akan dapat mengecilkan ruang-ruang ketirisan yang berlaku. Walaupun mungkin belum dapat ditutup sepenuhnya, mekanisme ini merupakan satu bentuk pengurusan risiko yang lebih berkesan berbanding pelaksanaan subsidi secara pukal sebelum ini.
“Berdasarkan statistik penguatkuasaan menunjukkan daripada 869 kes yang dihasilkan seluruh negara menerusi Ops Tiris 4.0 antara 16 Mac hingga 21 Jun lalu, sebanyak 554 kes membabitkan petrol dan diesel.
“Daripada jumlah ini, sebanyak 291 kes direkodkan di Sabah, Sarawak dan Labuan, menunjukkan jumlah kes yang lebih tinggi berbanding Semenanjung Malaysia,” katanya.
Menurutnya, kerajaan sebelum ini melaksanakan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung Malaysia terlebih dahulu bagi memastikan sistem dan mekanisme pelaksanaannya berjalan lancar sebelum diperluaskan ke Sabah, Sarawak dan Labuan.
“Kita tahu pelaksanaan penyasaran subsidi adalah perkara yang sensitif. Sebab itu kerajaan melaksanakannya secara berperingkat bagi mengurangkan impak kepada rakyat, di samping memastikan sistem yang dibangunkan dapat berfungsi dengan baik,” katanya. -BH Online

