KUALA LUMPUR: Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Bandar Tasik Selatan (BTS), di sini, menjadi cawangan pertama yang beroperasi setiap hari.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pejabat itu akan beroperasi bermula 8.30 pagi hingga 10 malam dengan anggota bertugas dua syif setiap hari.
“Apa yang membanggakan bagi pejabat ini adalah ia menggunakan model operasi metropolitan dengan waktu perkhidmatan lebih panjang dan beroperasi tujuh hari seminggu kecuali hari perayaan.
“Ini bukan sahaja memudahkan warga kota di kawasan ini tetapi juga mana-mana individu yang mahu berurusan dengan JPJ pada saat-saat akhir,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Pembukaan Pejabat Baharu JPJ Cawangan Bandar Tasik Selatan, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli.
Anthony berkata, pejabat baharu itu berkonsepkan pejabat moden dengan lokasi terletak di dalam bangunan yang boleh diakses dengan pengangkutan awam.
“Pejabat ini adalah pejabat ketiga di seluruh negara yang menggunakan konsep sama dengan yang pertama adalah pejabat di Putrajaya yang dibuka pada Januari lalu.
“Pejabat kedua dengan konsep sama adalah di Bandar Baru Nilai yang dibuka baru-baru ini. Konsep ini mungkin akan diperluaskan di Terminal Bersepadu Gombak,” katanya.
Beliau berkata, pejabat berkeluasan lebih 14,000 kaki persegi itu menggantikan pejabat JPJ Bandar Sri Permaisuri yang beroperasi sejak 2006.
“Pejabat sedia ada di Bandar Sri Permaisuri berdepan kekangan ruang dan kemudahan yang terhad susulan peningkatan jumlah pelanggan sehingga mencecah kira-kira 1,300 orang sehari.
“Keadaan ini menyebabkan persekitaran sedia ada tidak lagi kondusif untuk memenuhi keperluan pelanggan yang semakin meningkat.
“Kerja-kerja pemindahan ke premis baharu ini bermula pada 8 Jun lalu sebelum ruang pejabat diserahkan kepada JPJ sehari kemudian dan mula beroperasi sepenuhnya, hari ini,” katanya.
Katanya, cawangan baharu berkenaan turut mengintegrasikan pelbagai kemudahan digital termasuk kiosk layan diri, aplikasi MyJPJ dan penggunaan MyDigital ID.
“Pendigitalan bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan. Matlamat kerajaan adalah untuk mengurangkan kebergantungan kepada urusan fizikal di kaunter, mempercepatkan transaksi serta meningkatkan tahap keselamatan dan integriti sistem penyampaian kerajaan.
“Pada masa sama, kerajaan akan terus memastikan tiada golongan tercicir melalui penyediaan bantuan dan khidmat sokongan kepada pelanggan yang memerlukan,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kerjasama strategik antara JPJ dan TMAS Sdn Bhd sebagai contoh sinergi antara sektor awam dan swasta dalam menyediakan perkhidmatan kerajaan di lokasi yang lebih strategik dan mudah diakses.
“Pendekatan itu akan terus diperluaskan menerusi pelbagai inovasi baharu bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan sentiasa selangkah ke hadapan,” katanya. -BH Online

