AYER KEROH: Kerajaan Melaka memperkenalkan program Jelajah Ketua Menteri yang menjadi satu lagi inisiatif berterusan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyantuni, menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Menerusi jelajah dijadual bermula 5 Julai ini, Ab Rauf akan turun padang berjumpa rakyat di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam tempoh sehari.
Beliau berkata, jelajah itu bagi melihat sendiri keadaan di lapangan, mendengar secara langsung isu dan keperluan rakyat, selain menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
“Saya mahu setiap kunjungan berakhir dengan tindakan jelas, bukan sekadar mendengar dan mencatat, tetapi memastikan setiap isu disalurkan kepada pihak bertanggungjawab, diberikan tindakan susulan serta dipantau hingga selesai.
“Justeru, saya mengharapkan kerjasama sepenuhnya daripada semua jabatan, agensi dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya sentiasa bersedia memberikan sokongan serta komitmen terbaik dalam menjayakan setiap siri Jelajah Ketua Menteri yang akan dilaksanakan.
“Ia bagi memastikan setiap usaha digerakkan benar-benar membawa hasil kepada rakyat,” katanya berucap menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad dan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Melaka serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Ab Rauf berkata, dalam menyantuni tuntutan rakyat, kerajaan negeri sebelum ini melaksanakan inisiatif Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang terbukti berkesan membantu menyelesaikan permasalahan di DUN termasuk isu yang berlarutan sekian lama.
Katanya, setiap siri WRUR yang dilaksanakan di kawasan DUN mendapat sambutan sangat baik daripada rakyat dan lebih utama, setakat ini lebih 2,600 aduan atau 66 peratus daripada keseluruhan lebih 4,000 aduan diterima berjaya diselesaikan.
“Inilah ukuran sebenar kejayaan WRUR, bukan diukur dengan jumlah program yang dianjurkan, tetapi berapa banyak masalah rakyat berjaya kita selesaikan.
“Selepas selesai berkampung di Parlimen Kota Melaka, WRUR kini diteruskan ke Parlimen Jasin dengan DUN Rim membuka tirai pelaksanaannya, sekali gus menandakan penganjuran WRUR siri ke-20,” katanya.
Ab Rauf sebelum ini memperkenalkan Program WRUR sebagai usaha mengenal pasti dan menyelesaikan masalah rakyat secara tuntas menerusi siri turun padang ke setiap kawasan DUN.
Ia disusuli Program Hari EXCO Bersama Rakyat (HEBAT) yang bertujuan mendengar dan menyelesaikan aduan rakyat bersama semua jabatan serta agensi kerajaan. -BH Online

