Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Tempoh 60 bulan akan datang dilihat sebagai fasa penting untuk memastikan Malaysia bukan saja bersedia menerima perubahan teknologi baharu, malah mampu memanfaatkannya bagi meningkatkan daya saing ekonomi dan produktiviti serta merealisasikan aspirasi menjadi negara berteraskan kecerdasan buatan (AI) menjelang 2030.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata kesiapsiagaan negara terhadap era kecerdasan AI perlu dilihat secara menyeluruh merangkumi pembangunan ekosistem, infrastruktur digital, keselamatan siber, pusat data serta pembangunan bakat.

Menurutnya, dalam tempoh 24 bulan lalu, kerajaan memberi tumpuan besar kepada penyediaan asas yang diperlukan bagi menyokong perkembangan teknologi AI.

“Kita sudah ada teknologi, sambungan, pusat data dan keselamatan siber. Kini fokus utama ialah memastikan rakyat serta industri benar-benar bersedia menggunakan teknologi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran laporan kajian bertajuk ‘From Oversight to Advantage: How Boards Can Accelerate AI Adoption in Malaysia’s Financial Institutions’ oleh FIDE FORUM dan Accenture Malaysia, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi FIDE FORUM, Datuk Kamaruddin Taib.

Gobind berkata, penggunaan AI tidak seharusnya hanya dilihat sebagai isu teknologi, sebaliknya perlu menjadi agenda strategik setiap organisasi termasuk di peringkat lembaga pengarah syarikat.

Katanya, setiap industri perlu menilai cara AI boleh mengubah cara kerja, meningkatkan kecekapan operasi serta mewujudkan nilai baharu kepada perniagaan.

“Persoalannya ialah bagaimana AI boleh memperbaiki dan mempertingkatkan tahap kerja kita. Lembaga pengarah perlu memastikan syarikat bersedia menghadapi teknologi baharu ini,” katanya.

Menurut Gobind, input daripada pihak industri amat penting bagi membolehkan kerajaan membentuk dasar dan bantuan yang lebih tepat berdasarkan keperluan sebenar sektor ekonomi.

Katanya, kerjasama antara kerajaan dan industri akan terus diperkukuhkan bagi memastikan setiap sektor di Malaysia dapat menggunakan AI sebagai pemangkin pertumbuhan.

“AI merentasi semua sektor. Namun setiap industri mempunyai keperluan dan kawal selia tersendiri. Pendekatan kita ialah bekerjasama dengan pengawal selia sedia ada untuk memastikan pembangunan AI berjalan secara bertanggungjawab,” katanya.

Dalam menghadapi perubahan struktur pekerjaan akibat AI, Gobind berkata, kerajaan turut memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kemahiran tenaga kerja melalui program peningkatan kemahiran dan latihan semula.

Menurutnya, teknologi baharu mungkin memberi kesan kepada sebahagian pekerjaan sedia ada, namun pada masa sama ia berpotensi mewujudkan pekerjaan baharu yang memerlukan kemahiran berbeza.

Beliau berkata, persediaan AI tidak boleh hanya tertumpu kepada pelajar sekolah atau universiti, sebaliknya perlu membabitkan seluruh rakyat termasuk golongan pekerja semasa.

Katanya, kerajaan sedang melihat modul AI yang mudah difahami dan mudah diakses boleh diperluaskan kepada masyarakat.

Sementara itu, dapatan kajian oleh FIDE FORUM dengan kerjasama Accenture Malaysia mendapati 71 peratus institusi kewangan di Malaysia menggunakan AI, namun hanya 17 peratus berjaya melaksanakannya secara menyeluruh.

Laporan itu menganggarkan penggunaan AI secara berskala besar berpotensi meningkatkan keuntungan sebelum cukai institusi kewangan Malaysia sehingga 16 peratus, bersamaan kira-kira AS$1.8 bilion (RM7.7 bilion) dalam nilai tambahan. 

Pada masa sama, AI dijangka mampu menyumbang sekitar AS$113 bilion kepada ekonomi negara atau hampir satu perempat daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia. -BH Online