KUALA LUMPUR: Kejayaan universiti tempatan meraih penarafan antarabangsa membuktikan keupayaan Malaysia untuk menjadi hab kecemerlangan ilmu, penyelidikan serta inovasi dihormati di rantau ini dan global, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata meskipun penarafan bukan matlamat akhir sesebuah universiti, namun ia antara petunjuk penting kepada kualiti, reputasi dan daya saing institusi pengajian tinggi pada peringkat antarabangsa.
Zambry berkata pencapaian itu hasil usaha berterusan pensyarah, penyelidik, mahasiswa, alumni, petugas serta rakan industri yang sentiasa berusaha mengangkat martabat pendidikan tinggi negara.
“Semoga momentum kecemerlangan ini terus dipertingkatkan demi melahirkan bakat terbaik negara serta mengangkat kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pendidikan tinggi. Tahniah dan syabas kepada seluruh warga pendidikan tinggi Malaysia,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Zambry turut mengucapkan tahniah kepada Universiti Teknologi Petronas (UTP) atas pencapaian membanggakan apabila menjadi universiti Malaysia pertama yang berjaya menempatkan diri dalam kelompok 40 universiti terbaik dalam Times Higher Education (THE) Asia University Rankings 2026 .
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Universiti Malaya (UM), Sunway University, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).
Ucapan itu turut diberikan kepada Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta negara yang terus berusaha memperkukuh prestasi memberangsangkan dalam penarafan terkini.
Terdahulu, media melaporkan UTP berada pada kedudukan ke-35 dalam Times Higher Education Asia University Rankings 2026 meningkat daripada kedudukan ke-43, tahun lepas.
Laporan itu turut memaklumkan sebanyak 27 institusi pendidikan tinggi Malaysia disenaraikan tahun ini, dengan rekod enam universiti berada dalam kelompok 100 terbaik Asia manakala 11 universiti tempatan tersenarai dalam kelompok 200 terbaik.– BERNAMA
