JOHOR BAHRU: Skim Pengembara yang menyediakan perlindungan sosial kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara khususnya di Singapura kini memasuki fasa akhir sebelum dilaksanakan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, berkata skim perlindungan itu yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 480,000 rakyat Malaysia yang berulang-alik ke Singapura setiap hari, akan dibentangkan di Parlimen yang mula bersidang esok.
Katanya, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sudah menyiapkan kertas cadangan bagi skim berkenaan dan kini sedang melengkapkan proses mendapatkan kelulusan yang diperlukan, yang dijangka selesai seawal Ogos ini sebelum skim itu dikuatkuasakan.
“Sidang Parlimen bermula esok, jadi kita akan memulakan proses pembentangan kertas cadangan tersebut. Kita juga akan mengadakan sesi libat urus dengan ahli-ahli Parlimen bagi menerangkan manfaat program ini.
“Selepas kertas cadangan itu mendapat kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, skim ini akan dilaksanakan secepat mungkin untuk dimanfaatkan oleh rakyat Johor yang berulang-alik bekerja antara Johor dan Singapura demi perlindungan sosial mereka,” katanya selepas merasmikan Karnival LINDUNG Kerjaya MADANI di Setia Tropika Convention Centre, Setia Tropika, di sini hari ini.
Ramanan berkata, Skim Pengembara itu akan dilaksanakan melalui perluasan liputan perlindungan di bawah Akta 789 atau Skim Lindung Kendiri di bawah seliaan PERKESO, yang membolehkan individu yang layak membuat caruman bagi mendapatkan akses kepada lapan jenis faedah yang ditawarkan.
Dalam pada itu, beliau berkata, kadar pengangguran di Johor kekal rendah pada paras 2.4 peratus bagi suku pertama tahun ini, sekali gus mengatasi prestasi purata nasional yang direkodkan pada 2.9 peratus.
“Selain kadar pengangguran yang rendah, Johor turut merekodkan Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) sebanyak 71.6 peratus, melepasi kadar purata nasional iaitu 70.9 peratus.
“Prestasi positif ini didorong oleh pelbagai usaha pemadanan pekerjaan yang dilaksanakan menerusi portal MYFutureJobs serta kerjasama erat antara kerajaan, majikan dan agensi berkaitan,” katanya.
Beliau berkata bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini sahaja, sebanyak 66,661 kekosongan jawatan telah diiklankan melalui MYFutureJobs, manakala seramai 361,067 individu berdaftar sebagai pencari kerja di Johor.
“Daripada jumlah pencari kerja yang berdaftar itu, seramai 161,893 individu berjaya ditempatkan dalam pelbagai sektor pekerjaan, sekali gus membantu mengukuhkan lagi kedudukan pasaran buruh negeri,” katanya.
Karnival LINDUNG Kerjaya MADANI yang berlangsung hari ini menghimpunkan 20 majikan yang menawarkan lebih 2,000 peluang pekerjaan termasuk jawatan berkemahiran tinggi dengan gaji sehingga RM16,000 sebulan. -BH Online
