KLANG: Kemeriahan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 mula dirasai menerusi Program Road to MAHA 2026 (RTM) Zon Tengah yang berlangsung di Kompleks Sukan Pandamaran, Klang, Selangor.
Program yang dirasmikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu itu merupakan sebahagian daripada siri jelajah promosi MAHA 2026 yang bakal berlangsung di MAEPS, Serdang dari 28 Ogos hingga 6 September tahun ini.
Mohamad berkata Road to MAHA menjadi platform penting untuk mendekatkan agenda pembangunan sektor agromakanan kepada rakyat selain mempromosikan pelbagai tarikan yang bakal diketengahkan pada MAHA 2026.
Menurut beliau, antara fokus yang semakin mendapat perhatian ialah agropelancongan yang menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung untuk melihat sendiri aktiviti pertanian dan pengeluaran makanan.
“Sekarang ini agrotourism yang sedang mendapat sambutan. Ramai orang membawa keluarga ke kawasan sawah padi, kebun durian dan lokasi akuakultur untuk melihat sendiri bagaimana makanan dihasilkan.
“Agropelancongan menjadi semakin popular dan MAHA akan memainkan peranan untuk mendorong supaya sektor ini dapat dipertingkatkan,” katanya dalam sidang media.
Bagi Zon Tengah, program itu menyasarkan kehadiran 20,000 pengunjung dengan nilai jualan RM600,000 dan penyertaan kira-kira 80 usahawan agromakanan.
Pelbagai aktiviti menarik disediakan termasuk Pavilion MAHA 2026, Kingdom of Agrofood, Jualan Agro MADANI, Food Fiesta, Laman Ternakan serta pameran produk dan perkhidmatan agromakanan.
Sementara itu, Ketua Sekretariat MAHA, Datuk Dr Mohd Haniff Hassan berkata siri Road to MAHA diadakan bagi memastikan mesej dan kemeriahan MAHA dapat dirasai lebih awal oleh rakyat di seluruh negara.
“Tujuan kita buat Road to MAHA ini ialah sebagai satu roadshow untuk mewujudkan kesedaran mengenai MAHA dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Walaupun tidak semua berpeluang hadir ke MAHA nanti, sekurang-kurangnya Road to MAHA memberi peluang kepada mereka merasai sedikit sebanyak kemeriahan dan keberadaan MAHA,” katanya.
Pada majlis sama, Mohamad turut melancarkan laman web rasmi MAHA 2026, memperkenalkan maskot Che Lah dan Che Yam serta menyampaikan RM4.4 juta insentif dan bantuan kepada 215 usahawan agromakanan di Zon Tengah.
Mengangkat tema ‘Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan’, MAHA 2026 dijangka menghimpunkan teknologi pertanian moden, inovasi, peluang pelaburan dan kerjasama industri dengan sasaran nilai MoU RM8 bilion serta jualan langsung RM58 juta. -Astro Awani
