BINTULU: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia terus memperkukuh kedudukan dalam sektor tenaga global menerusi kerjasama strategik dengan beberapa negara pengeluar utama bagi menjamin kelangsungan bekalan untuk jangka panjang
Perdana Menteri berkata pendekatan diplomasi yang terbuka dan berkecuali membolehkan Malaysia membina hubungan baik dengan pelbagai kuasa dunia demi menjaga kepentingan negara, terutama dalam aspek keselamatan tenaga.
Menurut beliau, hasil pertemuan beliau dengan Presiden Russia, Vladimir Putin ketika lawatan ke negara itu baru-baru ini, Malaysia memperoleh jaminan bekalan tenaga berterusan bagi memenuhi keperluan domestik serta komitmen eksport tenaga ke beberapa negara di Asia, Afrika dan Amerika Latin.
“Presiden Putin dalam pertemuan dengan saya memberi jaminan akan mewujudkan pengaturan dan perjanjian jangka panjang bagi memastikan bekalan tenaga berterusan kepada Malaysia.
“Jaminan ini penting kerana keperluan tenaga negara bukan hanya untuk pasaran domestik, malah bagi memenuhi komitmen jangka panjang dengan beberapa negara lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penukaran Status Pelabuhan Bintulu daripada Pelabuhan Persekutuan kepada Pelabuhan Negeri di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata perkembangan susulan lawatan ke Russia itu amat signifikan ketika pasaran tenaga dunia terus berdepan ketidaktentuan susulan konflik geopolitik dan cabaran ekonomi global.
Pada masa sama, Anwar memaklumkan Malaysia turut mencatat pencapaian penting apabila memperoleh akses kepada beberapa blok gas strategik di Turkmenistan menerusi kerjasama syarikat petroleum negara, PETRONAS.
“Perkembangan berkenaan berpotensi memperkukuh penguasaan Malaysia dalam sektor gas asli serta membuka peluang baharu kepada industri tenaga negara di peringkat antarabangsa.
“Kejayaan itu adalah hasil kestabilan politik negara, kejelasan dasar kerajaan serta keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap keupayaan Malaysia sebagai rakan strategik yang diyakini dalam sektor tenaga global,” katanya. -BH Online
