Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menziarahi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri di kediaman menteri itu.

Anwar tiba di kediaman Nancy di Taman Serira, Lorong Menggris 2A, Petra Jaya, di sini, pada jam 5.45 petang setibanya di Kuching selepas menghadiri majlis di Bintulu.

Beliau yang diiringi Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas meluangkan masa kira-kira 20 minit sebelum bergerak ke Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) untuk menghadiri satu lagi majlis.

Dalam kunjungan singkat itu, Anwar menyampaikan ucapan takziah mewakili Kerajaan MADANI kepada Nancy atas pemergian suami Nancy, Datuk Kamil Misuari pada Khamis lalu.

“Saya datang untuk mengucapkan takziah dan semoga beliau tabah dengan ujian ini,” katanya ringkas.

Allahyarham Kamil, 65, meninggal dunia di Hospital Ampang, Kuala Lumpur, pada jam 6.38 petang, Khamis lalu.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang, Petra Jaya, di sini, jam 5.15 petang, Jumaat lalu. – BH Online