Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Seseorang yang diisytihar muflis tidak seharusnya dihukum sepanjang hayat berikutan kesilapan dilakukannya, sebaliknya perlu diberi peluang untuk memperbaiki kehidupan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Sehubungan dengan itu, katanya, Kerajaan MADANI percaya bahawa setiap rakyat yang berusaha memperbaiki kehidupan wajar diberikan peluang untuk bangkit semula. 

Beliau berkata, dalam konteks kebankrapan, seseorang tidak seharusnya dihukum sepanjang hayat atas kesilapan atau kegagalan kewangan yang pernah dialami. 

“Atas semangat itulah Dasar Peluang Kedua terus diperkukuh sebagai satu pendekatan yang lebih inklusif, prihatin dan berorientasikan pemulihan.

“Dasar ini memberi ruang kepada individu yang layak untuk mendapatkan pelepasan kebankrapan dan kembali menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan ekonomi negara,” katanya ketika merasmikan pra pelancaran Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Insolvensi, Datuk Ishak Bakri dan Pengarah Insolvensi Bahagian Likuidasi, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, karnival itu juga mendekatkan maklumat dan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat melalui pelbagai aktiviti serta perkhidmatan yang disediakan kepada orang ramai.

Beliau berkata, selain lelongan barangan hasil sitaan kebangkarapn, karnival itu juga akan membuka semakan status kes kebankrapan, menawarkan sesi konsultasi dan khidmat nasihat secara percuma bersama pegawai Jabatan Insolvensi, taklimat berkaitan proses pelepasan kebankrapan dan Dasar Peluang Kedua.

Selain itu, katanya, pengunjung juga akan didedahkan kepada literasi kewangan bagi meningkatkan kesedaran pengurusan kewangan yang berhemah dan berpeluang meninjau pameran pelbagai agensi kerajaan serta rakan strategik yang menawarkan perkhidmatan berkaitan pemulihan kewangan dan kesejahteraan rakyat. 

“Lebih penting, karnival ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat serta mengurangkan stigma terhadap individu yang pernah diisytiharkan bankrap. Hakikatnya, Dasar Peluang Kedua bukan sekadar berkaitan pelepasan kebankrapan. Ia adalah usaha memulihkan kehidupan rakyat. 

“Apabila seseorang diberi peluang untuk memulakan semula kehidupan, manfaatnya bukan sahaja kepada individu tersebut, malah kepada keluarga, komuniti dan negara secara keseluruhannya,” katanya.

Azalina berkata, melalui karnival berkenaan yang akan diadakan di enam zon, bermula di Zon Tengah pada 26 hingga 28 Jun ini, semua aset yang disita bawah Jabatan Insolvensi akan dilelong termasuk harta alih dan dan harta bukan alih.

Beliau berkata, antarayang bakal dilelong termasuk tanah dan rumah. 

“Ini adalah satu pendekatan yang baharu kerana ia kali pertama lelongan dibuat secara umum dan lelongan ini akan dilaksanakan di negeri-negeri mengikut zon termasuk di Johor dan Pulau Pinang tetapi ia akan dimulakan di Putrajaya.

“Jadi semua yang berminat itu saya jemput hadir kerana ini lah strategi untuk melupuskan harta aset supaya dapat memberikan peluang kedua dan bantuan,” katanya. -BH Online