PUTRAJAYA: Kementerian Ekonomi akan membentangkan kenyataan menteri berhubung krisis tenaga global dan gangguan bekalan dunia pada sidang Parlimen bermula pada 22 Jun ini, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata kenyataan itu akan disertakan dengan ruang perbahasan bagi membolehkan Ahli Parlimen membincangkan tindakan dan perancangan kerajaan dalam menangani kesan krisis terhadap ekonomi negara.
“Untuk sidang kali ini, kita akan membentangkan kenyataan menteri mengenai krisis tenaga global dan krisis bekalan global. Jadi, yang ini insya-Allah, Parlimen beri gambaran mereka boleh memberikan ruang dan kenyataan menteri itu akan ada perbahasan,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Ekonomi di sini, hari ini.
Akmal Nasrullah berkata kerajaan menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah meningkatkan kekerapan mesyuarat daripada enam kali setahun kepada 12 kali susulan tekanan krisis global, dengan sebanyak 124 keputusan telah diminitkan setakat ini.
Beliau berkata Malaysia masih mencatat pertumbuhan ekonomi memberangsangkan pada suku pertama 2026 sebanyak 5.4 peratus, manakala kadar inflasi kekal rendah pada 1.9 peratus.
Akmal Nasrullah berkata pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan bagi suku pertama 2026 berjumlah RM92.8 bilion, dengan Jepun muncul sebagai pelabur terbesar sebanyak RM21.5 bilion, khususnya dalam sektor digital dan transformasi teknologi.
Beliau berkata China dan Amerika Syarikat masing-masing merekodkan pelaburan RM10.1 bilion, sementara pelaburan domestik meningkat 13 peratus kepada RM36.6 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu. -BH Online
