Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR : Kerajaan tidak pernah meminggirkan hak mana-mana penduduk miskin bandar yang mahu menikmati hidup lebih baik, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, pembinaan projek perumahan kekal bagi penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara menjadi contoh dan bukti bagaimana hak penduduk miskin bandar dapat diadili, biarpun mereka perlu menanti lebih 40 tahun untuk mendapatkan penempatan kekal. 

“Projek ini tak besar, tetapi kesan dia dari segi sejarah cukup besar. Bukan saja di Malaysia, bayangkan di mana-mana negara, kelompok miskin bandar di rumah panjang begini rupa, berhadapan tekanan perumahan… dengan mahligai keliling, dengan nak jaga hutan, tak pernah menang (kes di mahkamah) dalam sejarah dunia. 

“Alhamdulillah, di sini saudara-saudara menang kerana pertahankan hak dan mengikut undang-undang,” katanya berucap pada Majlis Pecah Tanah Perumahan Kekal bagi penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan. 

Projek perumahan kekal itu melibatkan pembinaan 200 unit pangsapuri di mana setiap pemilik kediaman asal diberi dua unit. 

Setiap kediaman akan dilengkapi tiga bilik, sementara kerja pembinaannya akan dimulai hari ini dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun akan datang. 

Pada majlis sama Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi tujuan menampung belanja penyelenggaraan di kediaman terbabit bagi tempoh tiga tahun, sebaik projek itu siap kelak.

Beliau berkata, usaha menyelesaikan isu penempatan bukan mudah kerana ia melibatkan proses perundangan yang panjang. 

“Sebelum ini saya tak berani (untuk umumkan apa-apa) kerana (perlu) tunggu proses undang-undang (selesai). Maka kita hormat proses undang-undang. Sebaik keputusan dibuat, saya kata kena cari jalan selesai. 

“Maka, keputusan dibuat, teliti masalah penduduk, semua itu dirungkai dan akhirnya peranan kita cari bagaimana boleh diselesaikan. Bukan sikit tahun. Bayangkan kalau kita hidup, rumah panjang sudah (berusia) 44 tahun,” katanya. 

Beliau juga menghargai komitmen dan kesungguhan Hannah yang kerja kuat dalam mencari jalan penyelesaian muktamad kepada nasib penduduk terbabit. 

“Terima kasih Hannah, saya sangat senang hati, gembira, kerana apa yang kita boleh janji, ‘rule of law’ satu, jaga rakyat, dua. Orang miskin tidak ditinggal dan (bagi) bagi satu penyelesaian yang adil.

“Mudah-mudahan semua negeri, kota di negara ini, belajarlah dari pengalaman ini. Kalau tidak, sampai bila-bila (masalah tak akan diselesaikan). (Ini) bukan orang datang roboh rumah atau ambil tanah orang dan bikin, tak. Ini dia tunggu lama dan ada perjanjian (pembangunan semula) dengan pemaju,” katanya. 

Beliau juga menghargai kesabaran dan kecekalan penduduk biarpun terpaksa menanti tempoh cukup lama untuk mendapat kediaman lebih baik.

“Jadi janganlah orang kata ini sebagai contoh untuk bangunkan rumah-rumah setinggan dan terus minta hak, tak. Dia ikut proses undang-undang dan hakim yang bijaksana meneliti semua aspek dan dengar semua pandangan. 

“Ini sebab saya kata, ini dari segi sejarah sangat penting. Kita lihat, orang miskin ini tak kira Melayu, Cina, India hak dia kita pelihara. Ini Kerajaan Madani, kita adil untuk semua. 

“Kemudian, proses dia tak akan berlaku dengan baik kalau tak ada kerjasama dengan penjawat awam. Bila dasar itu jelas, penjawat awam boleh jalankan dengan cekap,” katanya. -BH Online