Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang melaksanakan proses pengumpulan data dan maklumat biometrik individu dalam kategori pelarian yang lebih menyeluruh, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata isu pelarian adalah isu legasi yang berlarutan sejak sekian lama dan diwarisi merentasi pelbagai pentadbiran dengan antara cabaran terbesar dihadapi selama ini ialah ketiadaan data yang lengkap dan tepat.

“Kita tidak boleh mengurus apa yang kita tidak kenal. Kita tidak boleh melindungi keselamatan negara tanpa mengetahui dengan tepat siapa yang berada dalam sempadan negara kita.

“Data yang tepat akan membolehkan kerajaan mengurus pelbagai isu yang berbangkit dengan lebih berkesan, sama ada dari sudut keselamatan, penguatkuasaan undang-undang, kesihatan awam, pekerjaan mahupun kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Saifuddin Nasution juga menegaskan status pelarian bukan lesen untuk melanggar undang-undang Malaysia dan individu yang melakukan kesalahan jenayah atau melanggar undang-undang negara tetap akan berhadapan tindakan penguatkuasaan serta proses perundangan yang sewajarnya.

Sehubungan dengan itu, beliau mengalu-alukan ahli akademik, aktivis masyarakat sivil, badan pemikir, pengamal undang-undang, pakar keselamatan dan pihak yang mempunyai kepakaran serta pandangan untuk mengemukakan cadangan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung isu pengurusan pelarian di Malaysia.

Beliau berkata Kerajaan MADANI memilih untuk mengurus isu itu secara bertanggungjawab, berhemah dan berasaskan fakta dengan memastikan keselamatan rakyat serta negara terus terpelihara.

“Apa yang sedang kita lakukan ialah memastikan kerajaan mempunyai keupayaan yang lebih baik untuk mengurus satu realiti yang telah lama wujud dalam negara. Matlamatnya bukan untuk melindungi pelarian, tetapi untuk melindungi kepentingan negara, keselamatan rakyat dan ketenteraman awam.

“Saya percaya rakyat Malaysia mampu membincangkan isu ini secara matang, rasional dan bertanggungjawab demi kepentingan negara yang kita cintai,” katanya. – BERNAMA