Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Tatakelola yang baik perlu mendasari pembangunan dan kegiatan koperasi dalam memastikan ekonomi negara dapat dimanfaatkan semua rakyat, kata Perdana Menteri. 

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sesebuah koperasi yang diuruskan dengan baik dan tiada unsur rasuah serta penyelewengan akan membuahkan prestasi yang baik.

Beliau berkata, perkara itu bagaimanapun sering dipandang ringan oleh segelintir pihak.

“Bagi saya sangat penting. Kalau kita tak betulkan, wang yang banyak… yang diperoleh banyak sekalipun, takkan beri manfaat kepada ramai kerana hanya memberikan (keuntungan) kepada kelompok yang sama, yang kecil.

“Itu sebab saya katakan tatakelola itu penting,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-10 Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (KOPROJAYA). 

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengerusi KOPROJAYA Saiful Azhar Shaharun serta lebih 1,200 anggota koperasi.

KOPROJAYA contoh koperasi baik

Terdahulu ketika berucap, Anwar turut menyatakan tahniah kepada KOPROJAYA atas kejayaannya mengamalkan tatakelola yang baik sehingga mampu mencatat prestasi memberangsangkan dan menjadi contoh kepada gerakan koperasi negara.

“Ini contoh koperasi diurus dengan baik dan tertib. Saya periksa, KOPROJAYA antara koperasi yang dipimpin dan diurus dengan tatakelola yang sangat baik dan saya ucap tahniah,” katanya. 

KOPROJAYA yang ditubuhkan secara rasmi pada 21 Jun 2013 bawah Akta Koperasi 1993, berkembang menjadi sebuah koperasi berimpak tinggi dengan 2,365 anggota aktif, jumlah aset menjangkau RM17.93 juta dan rangkaian perniagaan merentasi 13 lokasi aktif di seluruh Malaysia. 

Sementara itu, Anwar turut menegaskan konsep keadilan yang dibawa kerajaan tidak boleh ditafsir berdasarkan kaum atau negeri tertentu semata-mata, sebaliknya mesti berasaskan kepada keperluan sebenar rakyat. 

Ia berikutan wujud kecenderungan naratif politik semasa yang mentafsirkan keadilan mengikut kelompok tertentu, sedangkan bantuan dan perhatian sewajarnya perlu diberikan kepada golongan yang paling memerlukan. 

Pendekatan sedemikian penting bagi memastikan prinsip keadilan dan ihsan dapat dilaksanakan secara menyeluruh tanpa meminggirkan mana-mana kelompok masyarakat. 

“Kadang-kadang dalam wacana dan naratif politik dalam negara hari ini, kadang keadilan ni maknanya masing-masing nak ikut negeri, kadang ikut kaum.

“Padahal, dia mesti ikut apa yang diperlukan. Kalau kaum itu miskin ramai, kita kena beri perhatian,” katanya. 

Anwar berkata, ketika ini, majoriti golongan miskin di negara ini masih terdiri daripada masyarakat Melayu Bumiputera dan ia memerlukan perhatian sewajarnya daripada kerajaan, tanpa mengetepikan kelompok masyarakat lain yang berdepan masalah kemiskinan. 

“Kalau tengok majoriti kemiskinan negara kita, majoritinya masih Melayu Bumiputera. 

“Tapi ada kelompok India umpamanya, ataupun orang ulu yang miskin, itu mesti ditangani,” katanya.-BH Online