Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Projek pemasangan kabel tenaga dasar laut yang menghubungkan Sarawak dengan Johor masih dalam proses mendapatkan kelulusan laluan daripada Indonesia sebelum kajian dasar laut dapat dilaksanakan. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata kira-kira 60 hingga 70 peratus laluan kabel berkenaan akan melalui perairan Indonesia, justeru persetujuan negara itu perlu diperoleh terlebih dahulu. 

Beliau berkata, surat permohonan sudah dihantar kepada pihak berkuasa Indonesia dan kajian dasar laut hanya boleh dimulakan selepas kelulusan diberikan.

“Selepas mendapat persetujuan, semua pihak berkaitan akan melaksanakan kajian dasar laut bagi menentukan laluan terbaik untuk pemasangan kabel berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Surau Nurul Muslimin, Kampung Sungai Bedil Besar, di sini, hari ini. 

Beliau mengulas kenyataan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg baru-baru ini bahawa ASEAN perlu mempunyai satu platform dan rangka kerja yang dipersetujui bersama oleh semua negara anggota bagi merealisasikan pelaksanaan Grid Tenaga ASEAN. 

Ia berikutan ketika ini ASEAN masih belum mempunyai kerangka pelaksanaan yang konkrit, khususnya berkaitan aspek sambungan rentas sempadan. 

Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, usaha berkenaan kini dibincangkan di peringkat kerajaan dengan kerajaan (G2G) dalam kalangan negara anggota ASEAN. 

Peranan menyelaras standard dan keperluan teknikal bagi perdagangan tenaga rentas sempadan dilaksanakan oleh ASEAN Centre for Energy (ACE) yang berpangkalan di Jakarta. 

“ACE berperanan mengharmonikan semua standard yang berkaitan dengan bekalan tenaga rentas sempadan supaya pelaksanaan Grid ASEAN dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan,” katanya. 

Menurutnya lagi, antara cabaran utama ialah terdapat beberapa negara yang masih belum mempunyai keupayaan untuk menaik taraf sistem grid masing-masing bagi memenuhi keperluan rangkaian tenaga serantau. 

Bagaimanapun, beliau berkata rangkaian sambungan tenaga antara Laos, Thailand, Malaysia dan Singapura sudah pun diwujudkan dan menjadi asas penting kepada pembangunan Grid ASEAN. 

“Untuk grid di Semenanjung Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah memberi komitmen hingga tahun 2028 untuk melabur kita-kira RM42 bilion bagi menaik taraf grid tenaga. 

“Di peringkat Borneo, Sarawak sudah dihubungkan dengan Kalimantan Barat dan Sabah, manakala sambungan ke Brunei dijangka direalisasikan pada masa depan bagi membentuk apa yang dikenali sebagai Borneo Grid yang akan menghubungkan Sarawak, Sabah, Brunei dan Kalimantan sebelum disambungkan ke wilayah lain di Indonesia serta Filipina,” katanya. 

Rangkaian itu seterusnya akan disambungkan dari Kuching ke Johor melalui kabel dasar laut, dengan sebahagian bekalan disalurkan ke Singapura dan berpotensi diteruskan ke Batam, tertakluk kepada hasil kajian yang sedang dijalankan.-BH Online