KOTA TINGGI: Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengarahkan anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 supaya meningkatkan langkah keselamatan dan sentiasa berwaspada susulan situasi keselamatan yang semakin mencabar di zon konflik peperangan di Lubnan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata langkah itu penting bagi memastikan keselamatan anggota pengaman negara yang kini bertugas di kawasan konflik sentiasa terjamin.
“Kita (kementerian) telah memberikan panduan bahawa ancaman dan cabaran sebegini memang boleh berlaku dan kita menasihati pasukan supaya mengambil tindakan berjaga-jaga,” katanya.
Beliau menjelaskan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jiwa Murni MADANI MINDEF di Sekolah Kebangsaan Johor Kampong, di sini hari ini, ketika mengulas insiden serangan udara di kawasan berhampiran Haris, selatan Lubnan pada Khamis.
Mohamed Khaled berkata, kecederaan dua anggota pengaman Malaysia berpunca daripada serpihan bom yang jatuh berhampiran lokasi mereka berada dan bukannya akibat serangan secara langsung.
“Kesemua anggota yang cedera telah menerima rawatan daripada pasukan perubatan yang bertugas di sana dan keadaan mereka stabil,” katanya.
Sementara itu, katanya, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sedang menilai semula kedudukan pasukan pengaman di Lubnan, berikutan mandat misi Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) dijadualkan tamat pada Disember ini.
Tambah Mohamed Khaled, perancangan semasa kerajaan ialah membawa pulang semua anggota MALBATT pada akhir tahun ini.
“Bagaimanapun, sekiranya PBB memutuskan bahawa kehadiran pasukan pengaman masih perlu diteruskan bagi mengelakkan Lubnan menjadi padang jarak padang tekukur, Malaysia bersedia untuk mempertimbangkan kerjasama terbabit,” katanya.
Beliau turut menyatakan rasa syukur kerana setakat ini tiada sebarang insiden kehilangan nyawa membabitkan anggota Malaysia, berbeza dengan situasi yang menimpa beberapa pasukan pengaman negara lain di kawasan konflik berkenaan.-BH Online
