Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KEPERLUAN memperkukuh agenda kebajikan pelajar menjadi semakin signifikan ketika negara memasuki musim pendaftaran kemasukan baharu ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Ribuan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini sedang membuat persiapan melangkah ke alam kampus, sama ada di universiti awam (UA), politeknik, kolej komuniti mahupun IPT swasta (IPTS).

Bagi sebahagian besar pelajar, surat tawaran diterima adalah permulaan kepada fasa baharu penuh harapan. Namun ia turut membawa pelbagai cabaran termasuk kos pendaftaran, penginapan, pengangkutan, pembelian peralatan pembelajaran serta perbelanjaan sara hidup semakin meningkat.

Justeru, komitmen IPT bagi memperkasakan agenda kebajikan pelajar bukan lagi dilihat sebagai nilai tambah, sebaliknya satu keperluan penting bagi memastikan setiap mahasiswa berpeluang mengikuti pengajian dalam suasana kondusif, selamat dan sejahtera.

Pendekatan ini terus menjadi keutamaan IPT dengan pelbagai inisiatif diperluaskan secara menyeluruh di UA, selaras aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memastikan kesejahteraan mahasiswa sentiasa terpelihara tanpa mengira latar belakang ekonomi.

Inisiatif ini memberi tumpuan kepada usaha menangani kos sara hidup pelajar di kampus melalui penyediaan makanan mampu milik, bantuan kecemasan kewangan serta jaringan sokongan sosial lebih inklusif. 

Ia merangkumi pelajar B40, M40 serta pelajar orang kelainan upaya (OKU), dengan matlamat memastikan tiada mahasiswa tercicir daripada ekosistem pendidikan tinggi.

Antara inisiatif utama terus diperkasa ialah Dapur Siswa MADANI, Menu Kasih Siswa, dan Foodbank Siswa, yang menjadi tonggak kepada agenda kebajikan pelajar di seluruh UA.

Dapur Siswa MADANI berfungsi sebagai mekanisme sokongan bagi membantu mahasiswa mendapatkan akses kepada makanan asas secara lebih mudah dan bermaruah.

Inisiatif ini menyediakan makanan siap dimasak atau bahan keperluan asas kepada pelajar yang berdepan cabaran kewangan, khususnya menghadapi peningkatan kos sara hidup. 

Lebih daripada sekadar bantuan makanan, Dapur Siswa MADANI menjadi sebahagian daripada jaringan keselamatan sosial kampus memastikan keperluan asas mahasiswa terus terpelihara sepanjang tempoh pengajian.

Pelaksanaannya membabitkan kerjasama pelbagai pihak termasuk pengurusan universiti, pengusaha kafeteria, badan kebajikan serta sukarelawan mahasiswa. Pendekatan ini bukan sahaja membantu pelajar memerlukan, malah menyemai budaya kebersamaan dan keprihatinan dalam komuniti kampus.

Bagi memastikan mahasiswa dapat menikmati makanan berkualiti pada harga berpatutan, KPT turut memperkenalkan inisiatif Menu Kasih Siswa di universiti awam seluruh negara.

Menerusi program ini, pelajar boleh mendapatkan hidangan lengkap dan seimbang pada harga antara RM3 hingga RM5 melalui kerjasama dengan pengusaha makanan di kampus. 

Inisiatif ini bukan sahaja membantu mengurangkan beban perbelanjaan harian pelajar, malah memastikan akses kepada pemakanan yang lebih sihat dan mencukupi.

Menu Kasih Siswa berperanan sebagai salah satu instrumen kawalan kos sara hidup dalam kalangan mahasiswa, khususnya bagi mereka yang bergantung sepenuhnya kepada pinjaman pendidikan, biasiswa atau bantuan keluarga.

Foodbank Siswa terus memainkan peranan penting sebagai jaringan keselamatan sosial bagi mahasiswa berdepan kesukaran kewangan secara mendadak. 

Melalui inisiatif ini, pelajar boleh mendapatkan bekalan makanan asas seperti beras, makanan kering dan barangan keperluan harian yang ditempatkan di lokasi strategik seperti kolej kediaman, fakulti dan pusat hal ehwal pelajar.

Pendekatan lebih fleksibel dan mesra pelajar membolehkan bantuan disalurkan dengan cepat tanpa prosedur membebankan. Program ini mencerminkan semangat kebersamaan dalam komuniti kampus melalui pembabitan universiti, alumni, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor industri dan warga kampus.

Di samping inisiatif digerakkan KPT, UA turut memainkan peranan aktif memperkukuh agenda kebajikan mahasiswa menerusi pelbagai bentuk bantuan disesuaikan dengan keperluan semasa pelajar.

Sebagai contoh, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memperuntukkan kira-kira RM3.5 juta bagi melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan pelajar merangkumi bantuan kewangan, biasiswa, bantuan komputer riba, bantuan zakat, pembangunan pelajar serta program sokongan kesejahteraan mahasiswa.

Agenda kebajikan mahasiswa bukan lagi sekadar pelengkap kepada ekosistem pendidikan tinggi, sebaliknya menjadi komponen penting memastikan akses pendidikan lebih saksama, inklusif dan mampan. 

Melalui kerjasama erat antara KPT, universiti, industri dan masyarakat, usaha memperkukuh kesejahteraan mahasiswa diyakini mampu melahirkan graduan bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi lebih berdaya tahan menghadapi cabaran masa hadapan.

Justeru, pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan diperkenalkan ini bukan sekadar bertujuan membantu mahasiswa menghadapi cabaran kewangan semasa, tetapi pelaburan strategik pembangunan modal insan negara.