Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BUTTERWORTH: Kementerian Pendidikan (KPM) akan membawa cadangan berhubung pemberian elaun pelajar Tingkatan Enam ke mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu depan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pulang dari lawatan rasmi ke Turkmenistan.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya memahami harapan pelajar yang mahu menikmati elaun berkenaan selepas KPM berjaya memperjuangkan pemberian elaun kepada penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG).

“Jangan risau, minggu depan selepas Perdana Menteri balik daripada Turkmenistan, dalam Jemaah Menteri saya akan sampaikan mesej anak-anak tentang elaun itu.

“Kerana kita memahami keutamaan dan harapan anak-anak itu. Anak-anak di IPG sudah pun dapat selepas kita perjuangkan. Anak-anak Tingkatan Enam masih lagi kita perjuangkan, insya-Allah,” katanya .

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab Bicara Bersama Pemimpin POV Anak Muda Ketidakpastian Realiti: Siri 2 Zon Utara, di sini hari ini.

Selain itu, Fadhlina berkata, buat pertama kali pelajar Tingkatan Enam bakal menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang akan disalurkan pada Ogos ini, sekali gus membolehkan mereka merasai inisiatif berkenaan seperti murid sekolah lain.

Beliau dalam maklum balas segera kepada golongan berkenaan juga menjelaskan keputusan meletakkan Tingkatan Enam di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) adalah sebahagian daripada hala tuju baharu pendidikan negara.

Katanya, keputusan itu penting dan signifikan menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) termasuk memperkenalkan dasar pendidikan wajib bagi peringkat prasekolah.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM100,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari di Sungai Petani, Kedah selepas pelajar bangkit mengadu sekolah yang bakal menjadi pusat Tingkatan Enam tahun depan itu berdepan masalah prasarana dan kemudahan uzur.-BH Online