Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sebarang akses pekerjaan sekiranya diberikan kepada golongan pelarian yang layak akan memberi tumpuan kepada sektor berdepan kekurangan tenaga kerja dan kebergantungan tinggi kepada pekerja asing, khususnya berintensifkan buruh seperti perladangan, pertanian dan pembinaan. 

Perkara itu ditegaskan Kementerian Dalam Negeri (KDN), namun keutamaan pekerjaan untuk rakyat Malaysia akan terus dipelihara.

“Sekiranya pelarian yang memenuhi syarat tertentu diberikan akses kepada peluang pekerjaan yang sah, pelaksanaannya akan tertakluk kepada dasar dan kawalan yang ditetapkan oleh kerajaan. 

“Pendekatan ini bukan bertujuan menambah jumlah warga asing dalam pasaran pekerjaan negara, sebaliknya mengurangkan kebergantungan kepada kemasukan pekerja asing baharu serta memenuhi keperluan sektor-sektor tertentu yang berdepan kekurangan tenaga kerja,” katanya melalui kenyataan berkait isu pengurusan pelarian di Malaysia.

Menurut KDN, mana-mana individu yang dibenarkan bekerja secara sah akan tertakluk sepenuhnya kepada undang-undang dan peraturan pekerjaan negara termasuk pematuhan kepada kadar gaji minimum dan perlindungan pekerja yang berkuat kuasa. 

“Langkah ini penting bagi mengelakkan eksploitasi tenaga kerja serta memastikan persaingan yang adil dalam pasaran pekerjaan,” katanya.

Dalam pada itu, KDN memaklumkan usaha kerajaan melalui pelaksanaan program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) langkah penting ke arah pengurusan pelarian yang lebih tersusun, berasaskan data dan bertanggungjawab, demi memastikan keselamatan dalam negeri terus terpelihara serta kepentingan rakyat Malaysia sentiasa diutamakan. 

Program ini, katanya diwujudkan bagi membolehkan kerajaan memperoleh data biometrik dan maklumat identiti lebih tepat, lengkap dan boleh disahkan mengenai individu yang berada dalam kategori pelarian.

Data ini penting bagi memperkukuh keselamatan negara, meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dan membantu kerajaan merangka dasar yang lebih berasaskan fakta serta keadaan sebenar di lapangan. 

“Usaha ini bukan bertujuan memberikan kewarganegaraan, taraf pemastautin tetap atau hak untuk menetap secara kekal di Malaysia. Status mereka kekal tertakluk kepada mekanisme sedia ada termasuk proses penempatan semula ke negara ketiga yang diuruskan melalui saluran berkaitan. 

“Selain aspek keselamatan, data tepat juga penting bagi membolehkan kerajaan merangka dasar yang lebih teratur dan terkawal berhubung pengurusan pelarian yang berada dalam negara,” katanya.-BH Online