PUTRAJAYA: Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman yang boleh menjejaskan keselamatan maritim, kedaulatan dan kepentingan negara ketika perkembangan geopolitik global menjadikan Selat Melaka semakin penting dari sudut strategik.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata perkembangan membabitkan laluan perkapalan antarabangsa utama, khususnya Selat Hormuz meningkatkan kepentingan Selat Melaka sebagai antara koridor maritim terpenting di dunia.
Beliau berkata, keadaan itu meletakkan tanggungjawab yang semakin kritikal kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk memastikan perairan negara kekal selamat dan bebas daripada aktiviti jenayah yang boleh mengancam kestabilan negara serta serantau.
“Laluan maritim alternatif yang menjadi nadi ekonomi global kini semakin penting. Ini meletakkan tanggungjawab besar kepada anggota Maritim Malaysia untuk memastikan Selat Melaka terus selamat dan terjamin,” katanya berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Maritim Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd Rosli Abdullah.
Saifuddin berkata, zon maritim Malaysia membabitkan lebih 556,000 kilometer persegi termasuk laluan strategik seperti Selat Melaka, Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi adalah antara aset geopolitik, ekonomi dan keselamatan paling penting negara.
“Perairan kita bukan sekadar laluan perkapalan, ia nadi kepada geopolitik, ekonomi dan keselamatan negara.
“Maritim Malaysia adalah benteng pertahanan hadapan negara dalam memastikan perairan Malaysia kekal selamat, teratur dan bebas daripada jenayah maritim,” katanya.
Saifuddin berkata, pihak berkuasa maritim terus berdepan pelbagai ancaman termasuk pencerobohan bot nelayan asing, kemasukan kapal asing, aktiviti penyeludupan, pemerdagangan manusia, pendatang tanpa izin, penyeludupan senjata dan dadah.
Katanya, usaha membanteras penyeludupan barangan bersubsidi seperti diesel, petrol, minyak masak dan rokok juga terus dipertingkatkan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk penyeludupan, penyalahgunaan atau ketirisan bekalan bersubsidi yang boleh menjejaskan kepentingan negara dan kebajikan rakyat, khususnya dalam menghadapi krisis tenaga global 2026.
“Menerusi Op Tiris 4.0 (Segmen Laut) yang dilaksanakan bersama Unit Marin Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Laut dan Jabatan Perikanan sejak 16 Mac lalu, Maritim Malaysia merekodkan 30 kes dengan nilai rampasan melebihi RM5.74 juta sehingga 1 Jun lalu.
“Kejayaan operasi ini membuktikan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memastikan diesel bersubsidi, petrol dan barangan kawalan lain tidak diseludup keluar negara atau disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Saifuddin berkata, peranan Maritim Malaysia kini semakin signifikan seiring perubahan landskap keselamatan global dan peningkatan ancaman maritim.
Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan terus memberikan sokongan yang diperlukan bagi memastikan agensi itu kekal berupaya mempertahankan kedaulatan negara, sempadan maritim dan kepentingan ekonomi Malaysia.-BH Online
