BAYAN LEPAS: Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) komited menjadikan Pusat Teknologi dan Inovasi (NTIC) sebagai pemangkin baharu ekosistem semikonduktor bernilai tinggi dengan sasaran menarik pelaburan baharu sebanyak RM8.5 bilion menjelang 2030, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata sasaran itu akan dilaksanakan menerusi Advanced Packaging Institute and Research Centre (APIRC) iaitu antara komponen utama NTIC yang dibangunkan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).
“APIRC akan menumpukan penyelesaian AP daripada reka bentuk sehingga penghasilan prototaip dengan bidang ini semakin strategik dalam industri semikonduktor global kerana ia menentukan prestasi, kecekapan tenaga, saiz dan kebolehgunaan cip generasi baharu.
“APIRC juga berperanan sebagai platform pemadanan teknologi dan perniagaan yang menghubungkan syarikat tempatan dengan syarikat multinasional bagi mengkomersialkan harta intelek, membangunkan produk baharu dan membina keupayaan tempatan dalam rantaian nilai lebih tinggi,” katanya ketika berucap pada perasmian NTIC di sini, hari ini.
Akmal berkata Malaysia perlu memanfaatkan kekuatan sedia ada dalam industri semikonduktor untuk memperkukuh keupayaan dalam reka bentuk litar bersepadu, reka bentuk sistem, pembungkusan termaju, automasi, pembangunan peralatan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), penghasilan prototaip serta pengkomersialan teknologi.
Justeru, pihaknya turut menyasar APIRC melahirkan 12 syarikat perusahaan kecil sederhana tempatan menjadi sebahagian ekosistem pembungkusan termaju dengan NTIC berperanan mempercepat pembangunan bakat berkemahiran tinggi, R&D, inovasi, pengkomersialan teknologi serta pembangunan industri masa depan berdaya saing di Wilayah Utara.
“Walaupun NTIC berpusat di Pulau Pinang, limpahan manfaatnya perlu dirasai Kedah, Perlis dan Perak melalui peluang rantaian bekalan, penyertaan PKS, latihan bakat, kerjasama industri dan pelaburan berkualiti bagi menjadikan Wilayah Utara sebagai hab teknologi mampan.
“Pelaburan berkualiti mesti diterjemahkan kepada pekerjaan berkualiti. Kejayaan NTIC dan APIRC bukan hanya diukur melalui jumlah pelaburan tetapi bakat tempatan dibangunkan, gaji meningkat dan syarikat tempatan yang mampu naik ke rantaian nilai lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Mohamad Haris Kader Sultan, berkata program NTIC berperanan sebagai platform pembangunan Industri 4.0, robotik, ujian sistem, reka bentuk IC, penyelesaian kejuruteraan dengan menumpuka tiga sektor utama iaitu pembuatan bernilai tinggi, perkhidmatan termaju dan pertanian moden.
“Sejak 2023, NTIC telah merealisasikan pelaburan kumulatif sebanyak RM70 bilion, melantik 25 penyedia Pusat Kecemerlangan (CoE) menaik taraf rantaian nilai 68 syarikat tempatan serta menghasilkan 16 harta intelek di Wilayah Utara.
“NTIC turut membangunkan 1,452 bakat tempatan berkemahiran tinggi melalui kerjasama industri dan akademia dengan 58 peratus daripadanya menerima kenaikan gaji atau kenaikan pangkat selain merealisasikan 5,074 peluang pekerjaan,” katanya.-BH Online
