TOKYO: Malaysia menerusi Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) akan membekalkan dua juta tan gas asli cecair (LNG) setahun kepada syarikat utiliti Jepun (JERA), di bawah perjanjian jangka panjang selama 20 tahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perjanjian yang dijadual bermula pada 2028 itu mencerminkan keyakinan Jepun terhadap Malaysia sebagai pembekal tenaga yang stabil, selain mengukuhkan lagi hubungan strategik kedua-dua negara dalam sektor tenaga.
Perkembangan itu hadir ketika Jepun meningkatkan usaha memperkukuh rizab tenaga negara susulan ketidaktentuan global, termasuk tekanan terhadap bekalan LNG yang sebahagiannya dipengaruhi konflik geopolitik semasa.
“Kami baru sahaja memuktamadkan perjanjian jual beli LNG jangka panjang antara PETRONAS dan JERA untuk membekalkan dua juta tan LNG setahun bagi tempoh 20 tahun bermula 2028.
“Ini merupakan satu pencapaian yang luar biasa dan kejayaan dari segi kepercayaan serta kerjasama antara dua negara sahabat yang hebat,” katanya pada sidang media bersama di Pejabat Perdana Menteri Jepun di sini pada Rabu.
Beliau menyifatkan perjanjian LNG jangka panjang ini bukan sahaja menjamin keselamatan tenaga Jepun, malah memperkukuh peranan Malaysia sebagai pemain utama dalam pasaran tenaga global, di samping menarik lebih banyak pelaburan strategik ke dalam negara.
Sementara itu, Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, dalam sidang media bersama menegaskan bahawa kerjasama dengan Malaysia menjadi semakin penting ketika situasi tenaga antarabangsa berdepan ketidakpastian yang meningkat, dengan Malaysia kekal sebagai antara pembekal LNG yang boleh dipercayai.
Selain perjanjian LNG, kedua-dua negara turut bersetuju untuk memperluas kerjasama dalam memastikan bekalan bahan asas baja kekal stabil serta memperkukuh rantaian bekalan mineral kritikal, yang semakin penting dalam pembangunan industri berteknologi tinggi dan tenaga bersih.
Lawatan kerja Perdana Menteri ke Tokyo selama tiga hari bermula 8 Jun itu dilihat membuka ruang kepada lebih banyak perjanjian pelaburan berimpak tinggi, khususnya dalam sektor tenaga dan teknologi, selain mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai rakan utama Jepun di rantau Asia Tenggara.- Astro Awani
