BAYAN LEPAS: Maklumat terkini berhubung dapatan kadar kehilangan pekerjaan di negara ini akan diumumkan esok selepas kerajaan melengkapkan semakan bagi bulan Mei, kata
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Katanya, kerajaan masih menunggu data lengkap bagi bulan berkenaan untuk memastikan gambaran sebenar mengenai situasi pekerjaan dan pemberhentian pekerja dapat diberikan kepada orang ramai.
“Saya akan kongsikan maklumat yang terkini sebab biasanya kita tunggu lengkap bulan berkenaan untuk memberi gambaran sebenar,” katanya selepas merasmikan Pusat Teknologi dan Inovasi NCER (NTIC) di sini, hari ini.
Berdasarkan taklimat krisis bekalan global selepas mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sebelum ini, seramai 7,057 orang kehilangan pekerjaan pada April lalu, meningkat 21 peratus berbanding 5,855 pada Mac.
Akmal Nasrullah berkata penilaian terhadap trend kehilangan pekerjaan tidak boleh dibuat berdasarkan angka semata-mata sebaliknya perlu dilihat secara holistik dengan kerajaan turut akan menyatakan langkah-langkah yang akan diambil untuk terus membantu pekerja terkesan.
Pada 26 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata kerajaan sedang mengambil tindakan susulan dengan menyusun dan memperbaiki langkah pemulihan bagi membantu rakyat yang berdepan kehilangan pekerjaan.
Beliau dilaporkan berkata kerajaan akan menyediakan pekerjaan alternatif memandangkan terdapat banyak peluang baharu terutamanya bagi anak muda dengan pekerjaan kini banyak tertumpu kepada bidang teknologi maklumat dan kecerdasan buatan.-BH Online
