KUALA LUMPUR: Penyusutan nilai ringgit ke paras sekitar RM4 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) kebelakangan ini tidak mencerminkan kekuatan sebenar ekonomi negara yang terus disokong oleh pertumbuhan kukuh, aliran pelaburan asing yang mampan dan permintaan domestik yang stabil.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata pergerakan mata wang sememangnya dipengaruhi pelbagai faktor luaran termasuk perkembangan ekonomi global, khususnya di Amerika Syarikat (AS), dan tidak semestinya menggambarkan keadaan ekonomi domestik secara keseluruhan.
Beliau berkata, asas ekonomi Malaysia ketika ini kekal teguh dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 5.4 peratus pada suku pertama tahun ini, selain prestasi memberangsangkan dalam sektor pembuatan, pembinaan dan penggunaan swasta.
“Kelemahan mata wang dipengaruhi pelbagai faktor yang turut dihadapi semua mata wang lain. Ketika ini, tekanan inflasi di AS memberi kesan kepada jangkaan kadar faedah global, manakala Malaysia kekal stabil dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.
“Selagi asas ekonomi negara kukuh dan aliran pelaburan asing terus masuk, permintaan terhadap ringgit akan kekal tinggi dan mata wang itu akan kembali mengukuh. Sebab itu, saya tidak bimbang walaupun ringgit berada pada paras RM4 berbanding dolar AS,” katanya dalam satu wawancara bersama Bloomberg TV.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, Malaysia mencatat pelaburan diluluskan berjumlah RM92.8 bilion pada suku pertama tahun ini selepas merekodkan paras tertinggi RM427.6 bilion tahun lalu.
Katanya, aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang berterusan akan terus menyokong permintaan terhadap ringgit.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan tidak bercadang mengambil langkah luar biasa hanya kerana ringgit mengalami penyusutan sementara.
Sebaliknya, katanya, tumpuan kerajaan kekal kepada usaha memperkukuh asas ekonomi menerusi pelaksanaan reformasi ekonomi, peningkatan daya saing negara dan tarikan pelaburan berkualiti tinggi.
“Pada asasnya, data menunjukkan ringgit sepatutnya berada pada paras yang lebih baik daripada kedudukannya sekarang. Kita pernah melihat ringgit mencecah RM4.80 hingga RM4.90 berbanding dolar AS sebelum ini, namun kerajaan tidak bertindak secara luar biasa.
“Sebaliknya, kami terus menumpukan usaha memperkukuh asas ekonomi negara dan meningkatkan keyakinan pelabur. Hasilnya, ringgit kembali mengukuh dan saya percaya trend ini akan berterusan,” katanya.
Ditanya sama ada ketahanan ekonomi negara mampu dikekalkan dalam jangka panjang ketika harga minyak dunia terus meningkat dan berpotensi menjejaskan perbelanjaan pengguna, Amir Hamzah berkata Malaysia masih mendapat manfaat daripada permintaan global yang kukuh khususnya dalam sektor berkaitan kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan pusat data.
“Jika melihat kepada faktor yang sedang memacu ekonomi global ketika ini, permintaan berkaitan AI masih berkembang dengan baik dan Malaysia turut mendapat manfaat daripadanya. Permintaan terhadap cip semikonduktor juga kekal kukuh, begitu juga permintaan bagi pusat data.
“Walaupun kos meningkat, permintaan asas masih kuat. Dalam keadaan itu, pengguna masih bersedia membayar dan Malaysia mempunyai daya tahan untuk terus berkembang. Sudah tentu ada sektor tertentu yang mungkin berdepan tekanan, namun secara keseluruhannya ekonomi negara masih berada dalam kedudukan yang baik,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya tekanan kos menyebabkan pengguna mengubah corak perbelanjaan, keadaan itu merupakan sebahagian daripada proses pelarasan biasa dalam ekonomi.
Menurutnya, peranan kerajaan adalah memastikan kesan limpahan inflasi dapat diuruskan sebaik mungkin supaya tekanan terhadap kos sara hidup rakyat kekal terkawal.
“Kadar inflasi Malaysia sehingga April berada pada 1.9 peratus, masih dalam julat unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) antara 1.5 hingga 2.5 peratus. Ini menunjukkan tekanan kos sara hidup di Malaysia masih sederhana walaupun harga minyak dunia meningkat dengan ketara,” katanya.-BH Online
