SHAH ALAM: Kementerian Komunikasi akan mengemukakan cadangan bagi menyediakan insentif khusus dalam Belanjawan 2027 kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang memanfaatkan teknologi 5G dalam operasi perniagaan masing-masing, khususnya membabitkan sektor logistik dan perindustrian.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata cadangan berkenaan sedang diperhalusi sebelum dibawa untuk pertimbangan Kementerian Kewangan sebagai sebahagian daripada persediaan Belanjawan 2027 dalam tempoh dua minggu akan datang.
Beliau berkata, penggunaan teknologi 5G Standalone (5G-SA) dalam persekitaran seperti gudang pintar menawarkan pelbagai manfaat termasuk peningkatan produktiviti, kecekapan operasi dan aspek keselamatan.
“Kita mahu syarikat-syarikat PMKS melihat sendiri apa yang boleh dimanfaatkan dengan teknologi 5G bagi kegunaan mereka dan kita mahu ada perbincangan supaya beberapa perkara dapat dibawa ke perhatian Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan.
“Ada beberapa insentif yang boleh disediakan, tertakluk kepada keputusan yang akan dibuat oleh Menteri Kewangan,” katanya merasmikan pelancaran Gudang Pintar Termaju CelcomDigi di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Albern Murty dan Ketua Pegawai Teknologi CelcomDigi, T Kugan.
Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut diminta berbincang dengan syarikat telekomunikasi bagi mengenal pasti bentuk bantuan yang boleh diberikan kerajaan untuk menggalakkan penggunaan aplikasi berasaskan 5G.
Beliau berkata, teknologi 5G kini semakin matang dengan pelbagai peralatan berkaitan menjadi lebih mampu dimiliki berbanding beberapa tahun lalu, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada PMKS untuk mengadaptasinya.
“Dalam keadaan tempat seperti gudang yang banyak memanfaatkan Internet Kebendaan (IoT) serta kawasan kilang yang menggunakan pelbagai peralatan yang perlu dipantau, 5G adalah teknologi terbaik untuk digunakan oleh pihak PMKS.
“Teknologi sekarang lebih matang dan banyak daripada peralatan jauh lebih mampu dimiliki oleh pihak PMKS berbanding beberapa tahun yang lalu,” katanya.
CelcomDigi hari ini melancarkan Gudang Pintar Termaju, kes penggunaan langsung perniagaan-ke-perniagaan (B2B) perindustrian pertama di Malaysia yang dikuasakan teknologi 5G-SA.
Kemudahan yang terletak di Shah Alam itu berfungsi sebagai demonstrasi langsung cara keterhubungan termaju, kecerdasan buatan (AI), robotik dan automasi mampu mentransformasikan operasi rantaian gudang serta pembekalan pada skala besar.
Gudang itu berjaya mengoptimumkan penggunaan ruang sehingga 30 peratus, selain meningkatkan kecekapan operasi melebihi 50 peratus serta ketepatan inventori sehingga 100 peratus menerusi integrasi rangkaian 5G-SA, AI dan sistem autonomi.
Mengulas mengenainya, Murty berkata, keterhubungan termaju kini menjadi asas penting dalam menyokong penggunaan AI dan automasi yang semakin berkembang dalam pelbagai industri.
“Ketika ini, banyak industri mempercepatkan penggunaan AI dan automasi, maka keterhubungan termaju menjadi asas kritikal bagi operasi akan datang, membolehkan penggunaan praktikal kes 5G-SA yang menghasilkan perniagaan berimpak pada skala,” katanya.
Beliau berkata, menerusi kerjasama tempatan yang kukuh dan ekosistem inovasi, CelcomDigi berhasrat memacu pendigitalan perusahaan sambil menyokong aspirasi digital negara.
Inisiatif itu dibangunkan bersama rakan teknologi strategik termasuk Move Robotics, Infinium Robotics, Ailytics, Cobra Security Electronics (CSE) dan ZTE yang menyumbang kepakaran dalam bidang robotik autonomi, analitik video berkuasa AI, pengurusan inventori berasaskan dron serta teknologi kembar digital.-BH Online
