Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TOKYO: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan mahasiswa Malaysia di luar negara khususnya di Jepun tidak hanya mengejar kecemerlangan akademik, sebaliknya perlu memanfaatkan peluang menimba pengalaman dan nilai positif masyarakat setempat yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara.

Perdana Menteri berkata mahasiswa perlu memahami bahawa pendidikan bukan hanya dibentuk melalui institusi pengajian tinggi semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi oleh masyarakat serta pengalaman sejarah sesebuah negara.

“Gunakan masa anda di sini dengan sebaik-baiknya kerana Jepun mempunyai banyak perkara yang boleh dipelajari dan ia juga akan mempengaruhi pemahaman kita mengenai konsep MADANI.

“Sebab itu, kita turut menekankan aspek etika dan nilai kerana ia adalah antara teras utama MADANI. Nilai-nilai ini memerlukan kemanusiaan dan belas ihsan, namun pada masa sama kita mesti cemerlang dalam ekonomi moden, teknologi baharu dan kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan seorang mahasiswa Malaysia pada sesi soal jawab selepas menyampaikan syarahan khas bertajuk `Nilai Kemanusiaan Dalam Peradaban Manusia-Mesin’ ketika melawat ke Universiti Tokyo di sini, hari ini. -BH Online