KUALA LUMPUR: Kerajaan akan tetap melaksanakan agenda pembangunan negara dengan sasaran perbelanjaan pembangunan kira-kira RM611 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) meskipun berdepan cabaran ekonomi global dan krisis bekalan tenaga.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata kerajaan akan terus memastikan pelaksanaan projek dan program pembangunan berjalan secara berstruktur bagi meningkatkan kompleksiti ekonomi negara serta memperkukuh daya saing Malaysia pada masa hadapan.
Bagaimanapun, beliau mengakui 2026 adalah tempoh mencabar yang memerlukan kerajaan mengimbangi antara keperluan pembangunan dan pengurusan ekonomi dalam suasana krisis.
“Kerajaan kekal dengan RMK13 untuk memastikan pembangunan negara berstruktur dan membolehkan kita mencapai kompleksiti ekonomi yang lebih baik.
“Pada masa sama, kita juga mengakui bahawa tahun 2026 adalah tahun yang memerlukan pengurusan ekonomi dalam keadaan krisis,” katanya ketika ditemui di Persidangan Invest Malaysia Kuala Lumpur 2026 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, kementerian-kementterian mengemukakan cadangan projek dan program pembangunan masing-masing untuk tahun depan, manakala Kementerian Ekonomi kini sedang meneliti setiap permohonan sebelum penilaian lanjut dibuat bermula bulan depan.
Katanya, proses libat urus yang menyeluruh akan dilaksanakan bagi memastikan peruntukan pembangunan dapat disalurkan kepada projek yang benar-benar memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Dalam perkembangan berkaitan sektor tenaga, beliau berkata, keputusan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengekalkan kuota pengeluaran minyak bagi tahun 2026 memberi kelegaan kepada negara pengeluar seperti Malaysia.
Menurutnya, keputusan itu membolehkan aktiviti sektor minyak dan gas negara diteruskan seperti yang dirancang walaupun dunia berdepan ketidaktentuan bekalan tenaga.
“Kuota untuk tahun 2026 kekal seperti yang diputuskan sebelum ini. Ini memberi ruang kepada Malaysia untuk meneruskan aktiviti petroleum dan minyak serta gas seperti yang dirancang,” katanya.
Beliau berkata, OPEC kini sedang merangka inisiatif dikenali sebagai Maximum Sustainable Cooperation bagi menyemak semula kuota pengeluaran setiap negara anggota berdasarkan kajian yang lebih menyeluruh dan spesifik.
Katanya, Malaysia bersetuju memberikan kerjasama penuh dalam kajian berkenaan bagi memastikan tahap kuota yang ditetapkan selaras dengan kapasiti pengeluaran sebenar negara.
Mengenai pelaksanaan mandat biodiesel B15 baru-baru ini, Akmal Nasrullah berkata, program itu berjalan lancar tanpa sebarang aduan ketara yang dilaporkan setakat ini.
“Dari segi perancangan seperti yang kita putuskan dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) membuktikan bahawa ketersediaan kerajaan membuat keputusan segera dan memastikan pelaksanaannya berlaku dengan secepat mungkin.
“Pada ketika ini, kami belum mendengar sebarang aduan atau isu yang timbul daripada pelaksanaannya,” katanya.
Mandat biodiesel B15 meningkatkan kandungan biodiesel dalam bahan api diesel sebagai sebahagian daripada usaha Malaysia untuk menggalakkan penggunaan tenaga yang lebih bersih dan mengurangkan pelepasan karbon.-BH Online
