KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang menamatkan peranan Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC) Khas di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai sebahagian daripada agenda reformasi tadbir urus dan usaha memperkukuhkan integriti dalam sistem perancangan bandar di ibu kota.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata keputusan itu dibuat berdasarkan syor Project Capital, pasukan petugas khas di bawah Jawatankuasa Penasihat Dasar kepada Perdana Menteri, yang mendapati OSC Khas berpotensi menjadi saluran campur tangan dalam proses membuat keputusan pembangunan.
“Kerajaan MADANI tidak boleh mempertahankan mana-mana struktur yang membuka ruang kepada campur tangan atau persepsi bahawa sesuatu keputusan boleh dipengaruhi faktor selain undang-undang dan dasar perancangan yang sah.
“Sebab itu kita mahu kembali kepada prinsip jelas iaitu ikut Pelan Tempatan (Kuala Lumpur), ikut undang-undang dan ikut proses yang telus,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini.
Hannah berkata, langkah itu akan mengurangkan lapisan birokrasi tidak perlu, mempercepatkan proses membuat keputusan dan memastikan akauntabiliti lebih jelas dalam sistem penyampaian DBKL.
Beliau berkata, garis panduan jelas sudah diwujudkan bagi Ahli Parlimen untuk menyalurkan aduan dan cadangan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, selain DBKL turut memperkenalkan Portal OSC bagi membolehkan pihak berkepentingan dan orang awam melihat maklumat berkaitan permohonan pembangunan sedang diproses.
Pada masa sama, katanya, DBKL memperkemaskan prosedur operasi standard (SOP) dalaman supaya setiap permohonan dinilai berdasarkan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040.
“Jika semua pelan dan dokumen dikemukakan mematuhi syarat dan keperluan ditetapkan, DBKL boleh membuat keputusan dalam tempoh seawal 21 hari.
“Bagi cadangan yang memerlukan pertimbangan lanjut, proses rundingan dengan pihak berkuasa, jabatan, pertubuhan dan pihak berkepentingan akan dilaksanakan mengikut Kaedah 3, Kaedah-Kaedah (Perancangan) Wilayah Persekutuan (Permohonan untuk Kebenaran Merancang) (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2025,” katanya.
Hannah berkata, terdapat pengasingan kuasa jelas dalam sistem pentadbiran Kuala Lumpur dengan setiap keputusan pembangunan perlu dibuat pegawai berpengalaman berdasarkan penilaian dokumen teknikal, ulasan jabatan berkaitan dan Pelan Tempatan Kuala Lumpur yang diluluskan.
“Keputusan perancangan bandar mesti dibuat berasaskan fakta, dasar dan undang-undang, bukannya dipengaruhi mana-mana pihak,” katanya. –BERNAMA
