Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pelbagai kementerian dan agensi mengambil tindakan tegas serta menyeluruh bagi membanteras aktiviti perniagaan haram yang dijalankan warga asing serta penyalahgunaan visa dan lesen perniagaan tempatan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu berkenaan tidak boleh ditangani oleh satu agensi sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama menyeluruh daripada semua pihak berkaitan.

Tegasnya, tindakan segera perlu diambil susulan peningkatan kes warga asing yang dipercayai menjalankan perniagaan menggunakan visa pelawat atau pelajar serta menyalahgunakan permit dan lesen (perniagaan) milik rakyat tempatan.

“Jadi langkah-langkah yang kita usulkan saya minta dilaksanakan segera. Semua kementerian dan agensi berkenaan; LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), Kastam, KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup), PBT (Pihak Berkuasa Tempatan), MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia), Bank Negara Malaysia.

“MCMC kena bantu. Bank Negara Malaysia dan MCMC harus kaji platform ‘e-commerce’ dan ‘money trail’ termasuk AMLA,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini, hari ini. 

Yang turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; timbalannya, Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar. 

Semak lesen peniaga

Mengulas lanjut, Anwar berkata, KPDN serta pihak berkuasa tempatan perlu menyemak pelesenan peniaga yang terbabit, manakala LHDN dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bertanggungjawab memastikan cukai dibayar sepenuhnya. 

Pada masa sama, Jabatan Imigresen Malaysia diminta memperkukuh penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan visa oleh warga asing yang menjalankan aktiviti perniagaan atau pekerjaan tanpa kebenaran. 

Anwar berkata, kerajaan juga mahu kerjasama lebih erat dengan persatuan peniaga, dewan perniagaan dan persatuan penjaja bagi membantu mengesan kegiatan yang melanggar undang-undang. 

Segelintir persatuan peniaga jadi orang tengah warga asing

Katanya, terdapat aduan bahawa segelintir persatuan bukan sahaja gagal membantu penguat kuasa, malah bertindak sebagai orang tengah kepada warga asing untuk mendapatkan tapak atau lesen perniagaan. 

Sehubungan itu, beliau mencadangkan penggunaan mekanisme tertentu bagi memperkasakan peranan masyarakat dalam membantu penguatkuasaan. 

“Jadi sekarang kita terpaksa beri isyarat yang jelas tidak boleh dan badan penguat kuasa harus ambil tindakan. 

“Kemudian perkhidmatan yang disediakan oleh warga asing yang dipercayai menyalahgunakan visa pelawat atau pelajar, mahasiswa. Visa pelawat tetapi digunakan untuk berniaga, merampas peluang dan kesempatan pekerja tempatan,” katanya. 

Selain itu, kerajaan turut meneliti penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memantau dan mengesan aktiviti perniagaan haram dengan lebih berkesan.

Anwar menegaskan, kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan yang menjejaskan peluang ekonomi rakyat tempatan dan kedaulatan negara. 

Katanya, tindakan yang lebih tegas perlu dilaksanakan segera memandangkan isu berkenaan kini mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat di seluruh negara. – BH Online